Kehadiran Rajagobal faktor utama Mahali ke PKNS
Astro Arena
Januari 29, 2018 21:48 MYT
Januari 29, 2018 21:48 MYT
PEMAIN sayap berpengalaman, Mahali Jasuli, menyifatkan kehadiran Datuk K. Rajagobal selaku pengendali PKNS FC merupakan faktor utama pemilihannya untuk menyertai kelab itu.
Bagi Mahali, Rajagobal adalah pengendali yang mengenali corak permainannya serta mengetahui posisi yang bersesuaian buatnya dan percaya tiada masalah baginya untuk menyesuaikan diri.
Johor Darul Ta'zim (JDT) telah membuat pengumuman bahawa Mahali akan dipinjamkan semusim ke PKNS FC.
"Saya telah lama mengenali gaya permainan yang diterapkan oleh Rajagobal, saya akan sentiasa bersedia untuk diturunkan beraksi di mana-mana posisi," katanya.
Bagaimanapun, Mahali menyedari bahawa tiada jaminan untuk beraksi dalam setiap perlawanan dan perlu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Mahali turut mengakui salah satu sebab dia memilih PKNS kerana mahu berdekatan dengan keluarganya.
"Saya adalah pemain yang berasal dari Lembah Klang, bermain bersama PKNS mendekatkan saya dengan keluarga," ujarnya.