Kehadiran pemain senior bantu beregu lelaki negara - Razif
Bernama
Julai 11, 2022 10:45 MYT
Julai 11, 2022 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek menyifatkan prestasi pemain beregu lelaki negara akan meningkat sekiranya mendapat bimbingan pasangan senior berpengalaman yang boleh membantu mereka dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Beliau berkata situasi dialami gandingan negara ketika ini amat berbeza jika dibandingkan dengan zamannya suatu ketika dahulu.
"Satu daripada sebab yang saya lihat dalam sparing, mereka tiada orang yang lebih senior dan sekiranya ada dalam BAM, saya percaya gandingan lelaki pastinya akan lebih bagus dari segi taktikal.
"Ia berbeza jika hendak dibandingkan pada zaman saya yang masih mempunyai pemain senior seperti Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, ketika saya berada dalam skuad kebangsaan. Pemain sekarang hanya berlatih sesama sendiri tanpa pemain senior," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Razif pada masa sama berharap Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky menggunakan kebijaksanaan dalam merangka strategi bagi mengangkat pasangan beregu negara bersaing dengan gandingan terbaik dunia.
Menurutnya dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani adalah antara pemain yang berpontensi tinggi memberi cabaran di peringkat antarabangsa pada masa kini.
Razif optimis Rexy dan pasukan kejurulatihan mampu melaksanakan misi berkenaan, kerana ketika ini kedua-dua pasangan negara itu tidak jauh ketinggalan dari segi persembahan, namun hanya tumpas kepada pasangan gandingan terbaik dunia.
"Bagi saya persembahan mereka (Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzudin) di Terbuka Malaysia 2022 dan Malaysia Masters 2022 adalah baik namun masih boleh diperbaiki memandangkan mereka kalah kepada pemain terbaik dunia tapi tidaklah sebegitu ketinggalan.
"Mungkin dari segi strategi, taktikal dan mental yang terdapat kekurangan, namun saya percaya suatu hari nanti mereka akan berjaya cuma mengambil sedikit masa," katanya.
Mengikut ranking semasa, Aaron-Wooi Yik kekal gandingan lelaki nombor satu negara dengan menduduki tempat keenam terbaik dunia, diikuti pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (ke-10) dan Sze Fei-Izzuddin menghuni tempat ke-12.
Aaron-Wooi Yik tumbang kepada pasangan kedua dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, 21-23, 9-21 di Terbuka Malaysia 2022 baru-baru ini diikuti tumpas kepada pasangan kelima dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, 14-21, 21-19, 10-21 pada Masters Malaysia 2022.
Gandingan Sze Fei-Izzuddin pula tewas di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia kepada pasangan Fajar-Muhammad Rian dari Indonesia, 14-21, 12-21 sebelum disingkirkan pasangan sama seawal pusingan pertama 14-21, 20-22 pada Masters Malaysia 2022 yang berakhir semalam.
-- BERNAMA