Kehadiran Misbun cipta debaran
Astro Arena
Jun 12, 2017 07:30 MYT
Jun 12, 2017 07:30 MYT
Skuad perseorangan lelaki badminton negara tampak bersemangat menantikan kehadiran Datuk Misbun Sidek apabila ketua jurulatih kebangsaan berusia 57 tahun itu bakal memulakan tugasnya pada 1 Julai ini.
Dalam masa sama, pemain-pemain turut berasakan debaran selepas diberitahu mengenai ketegasan Misbun dalam mengendalikan setiap pemain yang berada di bawah pemerhatiannya.
Pemain-pemain seperti Lim Chi Wing, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven pastinya memerlukan modul latihan yang berlainan dalam usaha meningkatkan mutu permainan masing-masing dan perkara itu diakui oleh Chi Wing.
MESTI BACA: 10 perkara anda perlu tahu tentang Misbun Sidek
MESTI BACA: Misbun Sidek beri amaran kepada pemain muda
“Saya tidak pernah menyangka dia (Misbun) akan kembali dan saya rasa dia adalah pilihan yang tepat untuk membawa kami ke satu peringkat yang lebih bagus,” katanya.
Perkembangan ini dilihat sebagai kunci untuk menghormati dan mengikuti setiap program yang akan diwujudkan oleh Misbun yang sudah pasti memerlukan komitmen yang tinggi daripada setiap pemain.
“Saya amat gembira, namun tetap berdebar-debar untuk melalui sesi latihan bersama Datuk Misbun kerana saya banyak mendengar cerita tentangnya.
“Datuk Lee Chong Wei mahu kami sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk melalui sesi latihan daripada Datuk Misbun yang agak tegas,” ujar Joo Ven.
Nada sama juga disuarakan pemain berusia 26 tahun, Iskandar Zulkarnain.
“Saya berharap seluruh pasukan dapat menimba sebanyak mungkin ilmu daripadanya nanti,” kata Iskandar.
“Misbun memiliki aura yang mampu mencipta keberanian luar biasa dalam diri pemain,” ujarnya.
#badminton
#Iskandar Zulkarnain Zainuddin
#Ketua Jurulatih Kebangsaan
#Lim Chi Wing
#Misbun Sidek
#skuad perseorangan
#Soong Joo Ven