Kehadiran Klinsmann tanda mutu bola sepak negara makin meningkat - Kim Pan Gon
Astro Arena
November 10, 2023 22:12 MYT
November 10, 2023 22:12 MYT
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon, menganggap kehadiran jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann, ke Johor baru-baru ini adalah suatu perkembangan positif bagi bola sepak negara.
Jelasnya, ia berkemungkinan kerana pengendali berasal dari Jerman itu melihat peningkatan mutu bola sepak kebangsaan yang makin meningkat era ini.
"Mereka sedang membuat persiapan pasukannya dengan meihat kualiti permainan bola sepak di pentas Asia Tenggara," kata Pan-gon menerusi Nadi Arena.
"Dia melihat secara menyeluruh, kualiti penganjuran perlawanan, kualiti permainan yang ternyata memberikan pandangan yang positif buatnya."
Sementara itu, susulan pertanyaan ramai pihak yang mempersoalkan panggilan Mohamadou Sumareh menyertai panggilan kebangsaan, Pan-gon menegaskan ia adalah berdasarkan taktikal dan perancangan dalaman pasukan yang enggan didedahkan dengan lebih mendalam.
"Setiap kem kebangsaan, kami mahu memilih yang terbaik. Saya tahu penyokong mempunyai pandangan berbeza mengenai pemilihan pemain, tetapi kami harap semua orang faham kami hanya boleh pilih 23 pemain dan dua pemain untuk setiap posisi.
"Saya tahu ramai pemain bagus di luar sana. Setiap pemain boleh berada dalam senarai tetapi kami perlu membuat keputusan sukar sama ada untuk menempatkan pemain dalam senarai utama atau senarai bersedia.
"Saya harap penyokong memahaminya. Kami memilih bukan hanya sebab taktikal, tetapi kami juga melihat kepada komitmen, kesetiaan, patriotik dan sebagainya," katanya kepada media pada hari pertama kem latihan pusat Harimau Malaya pada Jumaat.
Tambah Pan-gon, dua lagi pemain bakal melapor diri tidak lama lagi iaitu Dion Cools dan Junior Eldstal.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com