Kehadiran Duncan bantu pertingkat tahap kecergasan pasukan kebangsaan - Laine

Bernama
Mac 22, 2025 10:40 MYT
Pemain Selangor FC, Nooa Laine (tengah) ketika beraksi dalam perlawanan menentang Pemain Dynamic Herb Cebu FC pada Liga Juara-Juara 2. - Foto fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Pemain tengah Harimau Malaya Nooa Laine mengakui kehadiran Dr Graig Duncan banyak membantu beliau dan rakan sepasukannya meningkatkan tahap kecergasan mereka menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 25 Mac ini.
Pemain warisan itu berkata Duncan selaku ketua prestasi tinggi dan perubatan sukan, merupakan satu inovasi dalam skuad kebangsaan, kerana sebelum ini tiada perancangan menggunakan khidmat pakar yang akan menganalisis data setiap pemain dari segi kualiti kecergasan.
"Saya rasa ini perkara baharu bagi kami. Kami menjalani pemeriksaan kesihatan setiap pagi untuk melihat keadaan pemain serta tahap kecergasan mereka dan saya fikir ini sangat membantu kami mengetahui apa yang perlu dilakukan dalam latihan, serta bagaimana kami boleh meningkatkan tahap kecergasan kami," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengenai sesi latihan, pemain Selangor FC itu berkata para pemain telah menyesuaikan diri dengan baik terhadap pendekatan taktikal Ketua Jurulatih Kebangsaan Peter Cklamovski.
"Empat hari ini sangat baik dan mengujakan. Saya rasa tahap intensiti latihan sangat tinggi dan jurulatih serta barisan kejurulatihan benar-benar membantu kami untuk mencapai tahap seterusnya. Setakat ini, saya sangat menikmatinya," katanya.
Laine berkata bagi perlawanan menentang Nepal mereka tidak boleh memandang rendah pasukan dari Asia Selatan itu, walaupun Harimau Malaya pernah menewaskan mereka 5-1 dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.
"Sebenarnya, saya tidak tahu banyak mengenai Nepal, tetapi saya tahu mereka akan bermain menentang Singapura hari ini. Jadi, perlawanan itu sangat penting untuk kami lihat dan memahami corak permainan mereka supaya kami dapat membuat persiapan sebaik mungkin selepas menonton perlawanan tersebut," katanya.
Apapun beliau berkata perlawanan menentang Nepal adalah sangat penting bagi Harimau Malaya untuk memulakan kempen Kelayakan Piala Asia dengan langkah kanan.
"Kami perlu menang untuk memulakan kempen dengan baik dan di laman sendiri, saya rasa kami harus sentiasa berusaha untuk menang dan menguasai perlawanan ini," katanya.
Selepas bertemu Nepal, Malaysia akan berdepan Vietnam pada 10 Jun, Laos (9 dan 14 Okt), Nepal (18 Nov) dan Vietnam (31 Mac 2026).
-- BERNAMA
#Nooa Laine #Graig Duncan #harimau Malaya #tahap kecergasan
;