Kehadiran beberapa pemain beri kelebihan pada Harimau Muda - Luqman Hakim
Bernama
Disember 21, 2023 15:57 MYT
Disember 21, 2023 15:57 MYT
SEPANG: Penyerang sensasi skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Luqman Hakim Shamsudin yakin percaturan pengendali Juan Torres Garrido untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain tertentu, boleh memberikan 'taring' kepada pasukan itu.
Pemain berusia 21 tahun itu yang kini kembali bersama Kelab KV Kortrijk di Belgium, optimis kehadiran para pemain itu akan membantu Harimau Muda memberi tentangan sengit ketika menentang China pada dua aksi persabahatan di Shanghai, bermula Sabtu ini.
"Saya rasa kita ada kelebihan sedikit dengan kehadiran beberapa pemain ini (yang tiada ketika Sukan SEA Kemboja).
"Pasukan baharu ini ada kelainan dan pemain itu sendiri faham apa yang jurulatih mahukan dari aspek teknikal dan taktikal," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini, sebelum berlepas ke Shanghai.
Pada panggilan kali ini, Garrido menyenaraikan beberapa pemain yang tidak beraksi pada Sukan SEA, Mei lepas termasuk Luqman Hakim, Muhammad Rahadiazli Rahalim, Fergus Tierney, Muhammad Umar Hakeem Suhar, Rezwan Daryl Sham, Mukhairi Ajmal Mahadi, R. Ruventhiran, Mohd Aiman Afif dan Harith Haiqal Adam Afkar.
Pasukan negara akan mengharungi dua aksi persahabatan Tier 2 pada 23 dan 26 Dis ini sebagai persediaan ke Piala Asia B-23 di Doha, Qatar bermula April tahun depan.
Sementara itu, penyerang Mohd Aiman berkata mereka telah melakukan persiapan terbaik dan menjalani latihan mencukupi.
"Setakat ini semua pemain semangat untuk berlatih dalam dua hari ini sebelum perlawanan berlangsung jadi persediaan semuanya baik dan kita akan buat yang terbaik di China," katanya.
Ditanya mengenai penyesuaian dengan Garrido, Mohd Aiman berkata beliau menghormati perbezaan prinsip atau falsafah setiap jurulatih.
Garrido dari Sepanyol dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan Oktober lepas bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024, menggantikan E. Elavarasan.
Harimau Muda diundi dalam Kumpulan D Piala Asia dan akan membuka saingan bertemu Uzbekistan pada 17 April, Vietnam (20 April) sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Kuwait (23 April).
-- BERNAMA