Kegembiraan berganda buat Nur Dhabitah di Ipoh

Bernama
April 22, 2022 20:17 MYT
Atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri memenangi dua acara pada hari pertama Kejohanan Jemputan Kumpulan Umur Malaysia di Ipoh, Perak, hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri memenangi dua acara pada hari pertama Kejohanan Jemputan Kumpulan Umur Malaysia di Ipoh, Perak, hari ini.
Pertandingan yang diadakan di Pusat Akuatik Tuanku Zara itu menyaksikan Nur Dhabitah meraih 261.05 mata dalam acara pertamanya 1 meter papan anjal wanita sekali gus mengetepikan cabaran dua lagi penerjun kebangsaan, Ong Ker Ying dan Kimberly Bong.
Ker Ying muncul naib johan dengan 233.15 mata manakala Kimberly mengutip 189.50 untuk tempat ketiga.
Gadis kecil molek itu meneruskan penguasaannya pada acara kedua, kali ini bergandingan dengan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong dalam 10 meter platform seirama wanita.
Pasangan itu mengumpul 308.76 mata, manakala lawan tunggal mereka Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin-Nur Eilisha Rania Abrial Rajagopal terpaksa berpuasa hati pada tempat kedua dengan 233.19 mata dalam acara yang melibatkan hanya dua penyertaan itu.
Sementara itu, seorang lagi penerjun negara Ooi Tze Liang muncul johan 1 meter papan anjal lelaki selepas mengumpul 351.80 mata, manakala rakan sepasukannya Nurqayyum Nazmi meraih 277.85 mata untuk mengungguli tempat kedua dan tempat ketiga menjadi milik Julfaddli Ali dari Sabah dengan 256.75 mata.
Kejohanan tersebut berakhir esok.
-- BERNAMA
#atlet terjun negara #Nur Dhabitah Sabri #Kejohanan Jemputan Kumpulan Umur Malaysia #Ipoh #papan anjal
;