Kedah tolak penajaan 'Terlajak Laris', penyokong tuntut penjelasan

Madiha Abdullah
Mei 5, 2016 08:05 MYT
KFA tidak menolak untuk bekerjasama dengan syarikat tersebut untuk memajukan bola sepak melalui medium lain.Foto/Instagram Datuk Aliff Syukri
NAMPAKNYA hasrat syarikat kesihatan dan kosmetik, D'Herbs untuk menaja pasukan bola sepak Kedah tidak tercapai.
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam satu sidang media sebentar tadi memaklumkan pihak mereka menolak penajaan tersebut.
Mengikut perancangan asal, pengasas D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, berhasrat mahu menaja pasukan yang dikenali dengan gelaran Lang Merah itu dengan nilai RM30 juta untuk tempoh tiga tahun.
Dalam satu status yang dimuat naik KFA ke akaun Facebook, memaklumkan keputusan itu dibuat kerana beberapa syarat yang dari pihak D'Herbs tidak dapat dipenuhi pihak persatuan.
Mereka bagaimanapun tidak memperincikan syarat-syarat tersebut.
KFA juga memberitahu pihak mereka tidak menolak untuk bekerjasama dengan syarikat tersebut untuk memajukan bola sepak melalui medium lain.
Aliff Syukri dalam status terbaharu di akaun Instagram dan Facebook, turut mengambil pendekatan berahsia, namun kapsyen yang dimuat naik jelas menggambarkan perasaan terkilannya.
Menerusi komen-komen yang diterima di akaun Facebook berkenaan, penyokong nyata terkejut dengan situasi berkenaan memandangkan perkembangan positif sebelum ini.
Mereka meminta agar pihak KFA memperjelaskan apa yang berlaku sebenarnya untuk mengelakkan spekulasi.
#D'Herbs #Datuk Aliff Syukri #persatuan bola sepak kedah #terlajak laris
;