Kedah sambar khidmat 'Messi Ganu'

Sinar Harian
Mac 19, 2024 08:50 MYT
Muhammad Faiz Mohd Nasir. - Foto Sinar Harian
KELAB Liga Malaysia (Liga-M), Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memperkuatkan bahagian sayap skuad Sang Kenari apabila menyambar khidmat Muhammad Faiz Mohd Nasir bagi saingan musim 2024/25.
Skuad kendalian Nafuzi Zain itu mengumumkan kehadiran pemain lincah yang terkenal dengan julukan Messi Ganu secara pinjaman dari Terengganu FC.
"Saya pernah dilamar Kedah ketika awal pembabitan saya di Liga Perdana dulu bersama PBAPP FC.
"Saya gembira untuk menabur bakti bersama Kedah dan dengan ketua jurulatih, Nafuzi Zain di sini.
"Saya lebih selesa untuk beraksi walaupun rakan sepasukan dan suasana baharu di Kedah.
"Saya mahu kembali ke puncak prestasi membantu Kedah kekal sebagai pasukan antara yang terbaik di Malaysia," kata Muhammad Faiz yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan pada 2019.
Sebagai rekod, pemain berketinggian 1.56 meter kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu merupakan antara pengrekrutan terbaharu kelab selepas Syafiq Ahmad dan Rizal Ghazali sebelum ini.
Muhammad Faiz memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional bersama Kelantan pada 2013 diikuti Felcra FC, Selangor, Kelantan United serta Terengganu FC. - Sinar Harian
#Muhammad Faiz Mohd Nasir #KDA FC #Nafuzi Zain #Messi Ganu
;