Kedah menang tipis 2-1 ke atas PDRM

Bernama
September 30, 2016 23:44 MYT
Pemain Kedah, Thiago Agusto (tengah) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam tadi. - Gambar Bernama
Kedah gagal memperoleh bekalan gol yang selesa apabila hanya menang tipis 2-1 ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.
Kesemua gol pada perlawanan tersebut diperoleh menerusi sepakan penalti.
Pemain import Kedah dari Kosovo, Liridon Krasniqi muncul wira skuad Helang Merah apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-80.
Kedah memperoleh penalti selepas Thiago Augusto Fernandes dikasari oleh penjaga gol PDRM, Muhammad Haziq Nadzli dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, Kedah membuka gelanggang dengan gol pembukaan seawal minit ketujuh oleh Augusto selepas pemain import dari Brazil itu dikasari oleh pertahanan lawan dalam kawasan kotak penalti.
Kegembiraan ribuan penonton di stadium tidak lama apabila PDRM menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi penyerang berbisa, Guilherme De Paula.
Pemain import dari Brazil itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-12, selepas Bang Seungwhan mengasari Christopher Keli dalam kotak penalti.
Kedah dengan kelebihan satu gol akan bertemu dengan PDRM pada aksi separuh kedua di Stadium Hang Jebat, Melaka, 15 Okt ini. - BERNAMA
#Lindon Krasniqi #Muhammad Haziq Nadzli #PDRM #Stadium Darul Aman #Thiago Augusto Fernandes
;