Kecemerlangan olahraga petanda positif ke Sukan SEA

Bernama
Julai 7, 2017 21:43 MYT
Khairul Hafiz (kanan) sebelum ini berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m lelaki. - Gambar fail
Kejayaan cemerlang yang dilakar skuad olahraga kebangsaan dalam beberapa kejohanan luar negara sejak kebelakangan ini merupakan petanda positif untuk memburu kejayaan gemilang pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan.
Bekas raja pecut Asia Datuk Rabuan Pit memuji langkah yang diambil Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dengan menghantar skuad kebangsaan menyertai pertandingan selain latihan intensif luar negara seperti di Afrika Selatan yang disifatkan cara terbaik meningkatkan prestasi atlet negara.
"Saya melihat kejayaan yang dicapai atlet kebangsaan ketika ini merupakan satu petanda positif sebelum Sukan SEA.
"Sekiranya mereka dapat mengekalkan prestasi sedia ada, saya yakin skuad negara dapat mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar atlet terdahulu pada era 80-an," katanya kepada Bernama di sini.
Rabuan, 61, yang merupakan pesara polis, menjelaskan beliau tidak bimbang dengan kemuncak prestasi yang ditampilkan skuad kebangsaan ketika ini sambil berharap mereka dapat mengekalkan prestasi masing-masing semasa berlangsungnya temasya sukan dwitahunan berkenaan.
Pemenang dua pingat emas Sukan SEA 1979 Jakarta itu turut mengingatkan skuad kebangsaan supaya tidak memandang rendah cabaran beberapa negara ASEAN seperti Thailand dan Indonesia yang dijangka memberi saingan sengit kepada kontinjen negara.
Beberapa atlet kebangsaan sebelum ini termasuk dua pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Zaidatul Husniah Zulkifli, berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m lelaki dan wanita.
Atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin, turut memperbaharu rekod peribadi kebangsaan ketika menyertai beberapa pertandingan olahraga di Jerman.
Acara olahraga Sukan SEA 2017 akan berlangsung dari 19-26 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
-- BERNAMA
#ASEAN #atlet negara #Malaysia #olahraga #sukan #Sukan SEA
;