Kecederaan pesilat negara, Faizul beri impak kepada pesilat lain - CDM

Nursyazwani Saiful Sham
Disember 3, 2019 00:31 MYT
Terdahulu, Faizul dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan 5-0 untuk Dumaan. Foto: Bernama
Kecederaan pesilat negara Muhammad Faizul M Nasir selepas tewas kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan pada pusingan awal Kelas Putra B dilihat menjejaskan semangat dan moral pesilat yang lain.
Menurut Chef de Mission ke Sukan Sea 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Faizul merupakan ketua pasukan silat bagi temasya kali ini.
“Saya berani katakan memang ada kesan sedikit kerana Faizul merupakan pesilat pertama yang turun ke gelanggang untuk Sukan Sea.
“Faizul juga merupakan pesilat yang paling senior. Manakala bagi empat kategori lain, empat muka atlet baharu yang dipertaruhkan.
“Jadi pastinya mereka mengharapkan Faizul untuk beri suntikan bagi meraih kemenangan tetapi selepas insiden ini, ia pastinya menjejaskan semangat dan moral pesilat lain,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Bagaimanapun, tegas Megat, insiden ini bukan alasan buat atlet baharu untuk tidak membawa pulang pingat emas, malah mereka perlu bekerja keras demi mengharumkan nama negara.
Terdahulu, Faizul dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan 5-0 untuk Dumaan.
Pada masa sama, Megat turut memaklumkan Faizul yang kini sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Clark City perlu dipantau rapi walaupun sudah dalam keadaan stabil.
Pada masa sama, Megat yakin atlet negara mampu meraih sasaran 70 pingat emas pada temasya Sukan Sea kali ke-30 ini.
Ini kerana, jelasnya walaupun selepas tiga hari pertandingan selepas perasmian, atlet negara kini berada di landasan yang betul serta momentum cemerlang setakat ini.
Dalam pada itu, Megat turut memaklumkan Taufan Kammuri yang melanda Filipina menjejaskan latihan atlet negara.
BACA: Beberapa acara Sukan SEA 2019 ditunda akibat Taufan Kimmuri
“Hari ini Manila dilanda Taufan Kammuri dan ia sedikit sebanyak merencatkan jadual latihan dan permainan.
“Saya mengharapkan cuaca bertambah baik menjelang esok dan pastinya ia tidak adil untuk meletakkan salah pada mana-mana pihak kerana ini adalah bencana alam.
“Pastinya pihak FIlipina sudah sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah berkaitan,” jelasnya.
BACA: Permulaan cemerlang kontinjen Malaysia pada hari pertama Sukan SEA
#Chef de Mission #Datuk Megat Zulkarnain Omardin #Dines Dumaan #Muhammad Faizul M Nasir #pesilat #pesilat negara
;