Kecederaan Bailly menjurus kepada pembedahan
Astro Arena
Disember 14, 2017 13:08 MYT
Disember 14, 2017 13:08 MYT
ERIC Bailly mungkin memerlukan pembedahan untuk mengatasi isu pergelangan kakinya kerana menurut pengurus Manchester United, Jose Mourinho, ia mungkin serius.
Pemain pertahanan itu tidak tampil sejak kekalahan 1-0 kepada Chelsea pada 5 November lalu selepas dilanda kecederaan itu ketika bertugas bersama Ivory Coast.
Laporan minggu ini mencadangkan Bailly mungkin tidak beraksi sehingga tahun depan dan pada masa sama, Mourinho tidak dapat mengesahkan berapa lama pemain berusia 23 tahun itu bakal diketepikan dan dia mencadangkan pemain itu mungkin berehat untuk jangka masa panjang.
"Saya fikir ia serius," kata Mourinho selepas United mencatat kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth, awal pagi tadi. "Saya tidak tahu (berapa lama dia akan tersisih).
"Kami sedang berusaha menggunakan rawatan konservatif tetapi jika ia tidak berjaya, dia mungkin akan menjalani pembedahan.
"Ia kecederaan ketika dia bersama pasukan kebangsaan, kami sedang mencuba rawatan konservatif tetapi jika ia tidak dapat diatasi, maka dia mungkin menjalani prosedur pembedahan tetapi kita perlu berikannya sedikit masa lagi.
"Saya bukan doktor, mungkin doktor boleh memaklumkannya. Ia bukan masalah kepada saya, cuma saya tidak mahu bercakap mengenainya," katanya.
Bailly, yang tiba dari Villarreal pada Jun 2016 dengan nilai £30 juta (RM164.3j), tidak beraksi selama sebulan tahun lalu akibat kecederaan ligamen lutut.
#bola sepak
#cedera
#Chelsea
#Eric Bailly
#Ivory Coast
#Jose Mourinho
#Manchester United
#Pembedahan
#pergelangan kaki
#rawatan konservatif