Kecederaan Abdul Latif tidak serius
Raja Hisyam Raja Zaid
September 6, 2021 19:23 MYT
September 6, 2021 19:23 MYT
SEPANG: Kecederaan yang dihadapi oleh atlet para lompat jauh negara Abdul Latif Romly akibat tergelincir pada lompatan keempat dalam acara T20 dua hari lalu tidak serius.
Menurut penyumbang pingat emas ketiga negara pada temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi, kecederaan yang dialami itu menyukarkannya untuk berjalan namun mungkin hanya bersifat sementara.
"Ada koyakan berlaku di bahagian otot, tapi rasanya akan pulih dalam sedikit masa lagi. Buat masa ni memang terasa sakit bila bergerak atau cuba berjalan," jelasnya.
Ini adalah kali pertama Latif tidak dapat menamatkan lompatan di temasya besar Paralimpik selepas terpaksa menarik diri pada lompatan kelima akibat kecederaan tersebut.
BACA: Paralimpik Tokyo 2020: Meskipun cedera, Latif terus 'terbang tinggi', sumbang emas ketiga negara
Atlet kelahiran Perlis itu yang juga pemenang berganda Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan jitu rakyat Malaysia selain keluarga dan juga agensi sukan yang terbabit dalam menjayakan misinya memburu pingat pada temasya yang berakhir semalam.
Abdul Latif merupakan atlet negara pertama berjaya memenangi imbuhan terbesar bagi atlet negara iaitu sebanyak dua kali selepas merangkul pingat emas di sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Sejurus selesai menjalani tempoh kuarantin, atlet berusia 24 tahun itu berhasrat terus pulang ke Perlis bagi menemui keluarganya yang sekian lama tidak bersua.
Turut diraikan pada sidang media tersebut adalah jaguh badminton Para negara, Cheah Liek Hou, yang melakar sejarah apabila merangkul pingat emas sukan itu bagi kategori SU5 Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua penaja, Majlis Sukan Negara (MSN) Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Badminton Negara (BAM) dan lain-lain," katanya.
Bagaimanapun, Liek Hou belum membuat sebarang ketetapan sama ada akan turut menyertai temasya yang sama di Paris, Perancis pada 2024.
"Itu belum pasti lagi sebab kita masih ada tempoh tiga tahun. Kita tengok macam mana nanti," jelasnya kepada media.