Kebangkitan wanita dalam dunia Formula 1, bukan lagi sebagai gadis litar!
Agensi
September 4, 2018 18:04 MYT
September 4, 2018 18:04 MYT
Formula Satu (F1) merupakan sukan yang sering didominasi oleh golongan lelaki. Namun kini penglibatan golongan wanita dalam sukan itu semakin melonjak naik sekali gus mengubah landskap dominasi sukan tersebut.
Pada Januari yang lalu, penganjur F1, Liberty Media mengesahkan bahawa pihaknya menghentikan amalan penggunaan gadis litar sebelum perlumbaan dimulakan.
Begitupun, ramai golongan wanita kini sudah mula menceburi bidang permotoran tersebut, bukan sebagai gadis litar atau pemandu jentera pasukan, malah dalam jurusan reka bentuk, perancangan aerodinamik dan perisian automotif.
Walaupun nisbah golongan wanita masih jauh daripada paras setara dengan golongan lelaki, landskap dunia permotoran itu kian berubah.
"Jika dahulu kita hanya melihat televisyen lebih memaparkan pemandu jentera sahaja, kini kita dapat lihat paparan jurutera di dalam pit atau mekanik di dalam garaj. Di situ kita dapat melihat penglibatan wanita mula bertambah," ujar jurutera strategi pasukan Force India, Bernadette Collins.
Jelasnya, golongan wanita sering diperlekeh masyarakat sekiranya mereka memasuki sukan permotoran kerana ramai beranggapan sukan tersebut hanya untuk golongan lelaki.
Anggapan ini menyebabkan ramai wanita tidak berpeluang menceburi bidang tersebut apatah lagi menyimpan hasrat untuk ke dunia permotoran tersebut.
"Terdapat banyak peluang yang ada untuk golongan wanita dalam dunia F1 sebenarnya dan kita mahu menggalakkan bakat yang ada pada golongan wanita dalam jangka masa panjang," kata Susie Wolff yang merupakan bekas pelumba F1 dan isteri kepada ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff dalam sebuah artikel di laman web DareToBeDifferent.org.
Penglibatan wanita dalam sukan F1 terutamanya di Singapura dan Asia dilihat tidak memberangsangkan berbanding di negara Barat.
Stereotaip terhadap jantina perlu dihentikan bagi menggalakkan wanita menceburi bidang permotoran F1 selain menjadikan sukan tersebut tidak didominasi oleh satu jantina sahaja.