'Keangkuhan FAM kunci kemusnahan bola sepak Malaysia' - TMJ
Astro Arena
September 26, 2015 12:15 MYT
September 26, 2015 12:15 MYT
Penaung Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook Johor Southern Tigers telah menyentuh mengenai beberapa perkara melibatkan badan induk bola sepak negara (FAM) serta penyokong bola sepak.
"Berkenaan hak penyiaran FAM dan jadual perlawanan liga, FAM dilihat masih berdegil. Hak penyiaran semua pasukan yang bertanding masih sedikit dan sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Saya tidak faham, dan ingin tahu mengapa FAM perlu menerima sehingga 40 peratus daripada keseluruhan hasil penyiaran yang berjumlah lebih kurang RM30 juta, sedangkan pengurusan liga akan dijalankan oleh FMLLP (Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia)?" soal Tengku Mahkota Johor itu.
Titah baginda, sebagai perbandingan, di negara-negara Eropah, pasukan-pasukan yang bertanding menerima sebanyak 70-80 peratus daripada hasil penyiaran sedangkan pasukan kita hanya menerima 30 peratus.
"Saya berharap semua pasukan menggunakan dana dari hak penyiaran ini dengan baik dan bijak menggunakannya mengikut kemampuan.
"Jangan berbelanja untuk mendapatkan pemain-pemain import sahaja. Keutamaan perlu diberi kepada pemain tempatan," baginda bertitah.
Disamping itu, baginda turut menyentuh mengenai kem latihan skuad kebangsaan.
"Di negara-negara Eropah seperti di negara Jerman dan England, pemain akan melaporkan diri ke kem latihan empat atau lima hari sebelum perlawanan, tetapi di Malaysia pula pemain perlu melapor diri sehingga dua minggu awal sebelum perlawanan.
"Pemain Malaysia mempunyai purata tempoh latihan yang panjang dan dua kali ganda berbanding pemain Jerman dan England untuk membuat persiapan perlawanan antarabangsa.
"Ini menyebabkan liga terhenti lama dan ianya merosakkan momentum para pemain. Harus diingatkan bahawa pemain sudah cukup cergas dan mereka hanya perlu diasah dari segi taktikal bila di kem latihan kebangsaan.
"Apa yang berlaku sekarang, kita tidak menang tetapi sebaliknya sentiasa tewas. Jadi, lakukanlah sepertimana dilakukan oleh orang lain," titah Tunku Ismail.
Disamping itu, baginda turut sempat menyampaikan peringatan kepada penyokong bola sepak tanah air.
"Kepada para penyokong tanahair, sebelum anda mengatakan apa-apa mengenai saya, adalah lebih baik anda cermin diri sendiri terlebih dahulu, kerana hanya saya seorang sahaja yang bersuara untuk hak pasukan anda, lebih dari ketua anda sendiri.
"Nilaikan sendiri pengecut yang hanya berdiam diri dan tidak berjuang untuk mendapatkan hak anda," titah baginda lagi.