Keadaan Pearly Tan semakin baik, tunggu keputusan MRI

Astro Arena
September 4, 2022 07:15 MYT
Pearly mengalami kecederaan itu ketika dia dan pasangannya, M. Thinaah, menghadapi wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Le Yu Lim, dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun pada Khamis lalu. -Astro Arena
PEMAIN badminton beregu wanita negara, Pearly Tan, berkata dia kini sudah boleh berjalan sendiri tanpa bantuan tetapi perlu menunggu keputusan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) di lutut kirinya.
Pearly mengalami kecederaan itu ketika dia dan pasangannya, M. Thinaah, menghadapi wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Le Yu Lim, dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun pada Khamis lalu.
Gandingan negara itu terpaksa menarik diri dalam set ketiga selepas Pearly kelihatan mengalami kecederaan lutut serius.
Pearly berkata, ia merupakan kali pertama dia mengalami kecederaan seperti itu dan bersedia memberikan tumpuan penuh terhadap proses pemulihannya.
"Ia semakin baik kerana saya sudah mula boleh berjalan sendiri tanpa bantuan tetapi perlu menunggu keputusan MRI yang akan dilakukan esok," katanya kepada Astro Arena.
BACA: Terbuka Jepun: Pearly Tan tarik diri akibat kecederaan lutut
BACA: Badminton: Imbasan MRI tentukan kecederaan Pearly - ISN
"Saya tidak pasti sama ada ia akan memberikan kesan terhadap permainan saya selepas ini tetapi saya pasti akan melakukan yang sebaiknya untuk pulih seperti biasa.
"Sebenarnya, ketika di kedudukan 14-12, sewaktu saya melakukan lompatan, saya mendarat dalam keadaan yang tidak betul, jadi ia memberikan saya kesakitan sehingga tidak dapat bergerak dengan selesa dalam gelanggang.
"Saya tidak pernah rasa kesakitan seperti ini, ia merupakan kali pertama saya cedera di bahagian ini.
"Ahli Fisioterapi saya berkata ia mungkin disebabkan kecederaan tendon paha tetapi saya perlu menunggu keputusan MRI," katanya.
#badminton #Pearly Tan #MRI #Terbuka Jepun
;