'Keadaan Faisal Halim tidak begitu baik'

Sinar Harian
Mei 6, 2024 17:48 MYT
Faisal sedang berada dalam pemerhatian doktor selepas pembedahan tersebut. - Foto Fina Nasrom/Astro Arena
KEADAAN pemain Selangor FC, Faisal Halim tidak begitu baik selepas menjalani pembedahan pertama di sebuah hospital di Shah Alam pada Isnin.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, Faisal sedang berada dalam pemerhatian doktor selepas pembedahan tersebut.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut keadaan semasa Faisal dan sedang menantikan perkembangan terkini keadaan pemain itu.
"Dia telah menjalani pembedahan pertama, tetapi saya boleh katakan keadaan dia tidak berapa baik.
"Sukar untuk saya ceritakan dan ketika ini dia sedang dalam pemerhatian doktor," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Sebelum ini, Faisal menjadi mangsa disimbah asid dalam satu kejadian di sebuah pusat membeli belah di Damansara pada Ahad.
Dia mengalami kecederaan melecur tahap dua pada badan dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Setakat ini, seorang suspek sudah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Faisal Halim #disimbah asid #Timbalan Presiden FAS #Shahril Mokhtar #pembedahan pertama
;