KDU tawar biasiswa pendidikan kepada atlet Paralimpik

Bernama
Oktober 13, 2016 07:41 MYT
Naib Canselor Universiti Kolej KDU, Prof Dr Hiew Pang Leang (tengah) bergambar bersama sebahagian atlet paralimpik negara selepas menyampaikan baju 'Team KDU' kepada para atlet tersebut. - Foto BERNAMA
Susulan kejayaan atlet Paralimpik yang meraih tiga pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Paralimpik Rio baru-baru ini, Kolej Universiti KDU mengumumkan Dana biasiswa yang pertama bagi Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) bagi mengiktiraf usaha semua atlet paralimpik.
Sebagai permulaan, Kolej Universiti KDU menyampaikan KDU Fitspiration Scholarships Fund, bernilai RM500,000 kepada MPC, di kampusnya di Utropolis Glenmarie, pada Khamis.
"Kami percaya KDU akan menjadi alternatif untuk belia melanjutkan pengajian sama ada mereka kurang upaya atau tidak, dan di sini kita menawarkan biasiswa kepada mereka yang menghadapi cabaran kewangan.
"Sekarang, kami ingin melanjutkan peluang ini kepada atlet paralimpik sama ada di Malaysia atau di negara Asean yang mewakili negara masing-masing dan berusaha secara aktif untuk menyumbang kepada negara," kata Naib Canselor KDU, Prof. Hiew Pang Leang pada sidang media di sini.
Atlet paralimpik, Mohamad Ridzuan Puzi, yang meraih emas dalam acara pecut 100 meter T36 (celebral palsy) muncul secara eksklusif di Kolej Universiti KDU bersama tujuh atlet paralimpik yang juga beraksi dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden MPC Ng Keng Chuan, Naib Presiden Datuk R. Subramaniam dan Jason Jonathan Lo serta Setiausaha Agung Siti Zaharah Abdul Khalid dan Chef de Misson Sukan Paralimpik Rio, Dr. Ang Kean Koo. - Bernama
#atlet paralimpik #biasiswa #KDU #Majlis Paralimpik Malaysia #pendidikan
;