KDNFC kecam tindakan individu, kumpulan serang pemain bola sepak

Bernama
Mei 6, 2024 08:30 MYT
KDNFC mendoakan agar dua pemain yang cedera itu cepat sembuh serta dapat berbakti kepada pasukan masing-masing tidak lama lagi. - Facebook Kelantan United Football Club
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) mengecam sekeras-kerasnya tindakan individu atau pihak tidak bertanggungjawab melakukan kekerasan menyerang dan mencederakan atlet sukan di Malaysia.
KDNFC dalam kenyataan malam tadi memaklumkan insiden yang berlaku terhadap dua pemain bola sepak negara merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan perlu dibendung dengan kadar segera.
"Para pemain bola sepak serta atlet mana-mana sukan sekalipun adalah aset negara yang perlu dijaga, mereka ini adalah individu yang akan mengharumkan nama Malaysia pada setiap kejohanan atau acara sukan disertai oleh negara kita.
"Justeru KDNFC berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak bertanggungjawab agar kejadian sama tidak berlaku kepada pemain bola sepak atau atlet sukan lain di masa akan datang," menurut kenyataan itu.
KDNFC mendoakan agar dua pemain yang cedera itu cepat sembuh serta dapat berbakti kepada pasukan masing-masing dalam memeriahkan semula Liga Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.
Khamis lepas pemain bola sepak Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid dilaporkan cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun, dan hari ini pula negara dikejutkan dengan kejadian pemain sayap Selangor FC Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.
-- BERNAMA
#Kelantan Darul Naim FC #serangan #pemain bola sepak #Liga Malaysia
;