KDA FC bakal menjadi pasukan pencabar Liga Malaysia
Adie Sufian Zulkefli
Januari 7, 2023 12:12 MYT
Januari 7, 2023 12:12 MYT
ALOR SETAR: Rombakan besar yang dilakukan oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan membina balik kekuatan pasukan dari bawah adalah proses untuk meletakkan Sang Kenari kembali menjadi pencabar utama bola sepak tanah air.
Keberanian pemilik saham majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, dalam melakukan perubahan besar, mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang berharap semua penyokong KDA FC terus setia di belakang kelab itu.
Setiausaha Kehormat KFA Firdaus Ahmad berkata, langkah sama telah dilakukan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membina Johor Darul Ta'zim (JDT) bermula daripada bawah dan kini membuahkan hasil apabila muncul kuasa bola sepak besar tanah air.
"Dulu sebelum wujudnya JDT, macam mana pasukan Johor ketika itu? Johor kita tidak sebut. (Yang jadi sebutan) Selangor, Perak, Kedah, antara yang utama ketika itu.
"Apabila satu perubahan dilakukan dan pasukan dimantapkan dengan beberapa suntikan baharu ia telah menjadi pasukan kuat.
"Jadi, untuk kita ke arah itu, kita kena bermula dengan apa TMJ lakukan, dengan mengambil pemain, bina semula (dari bawah) dan menjadi satu pasukan hebat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Firdaus yang juga Exco Belia dan Sukan negeri Kedah berkata, JDT menjadi contoh dan penanda aras kepada semua kelab yang beraksi di Liga Malaysia.
Jelasnya, prestasi kelab selatan itu yang kini berada pada tahap tinggi menjadi satu cabaran kepada pasukan lain untuk terus memberikan saingan.
"Kita akui, kekuatan, sistem bola sepak yang dibawa oleh TMJ antara yang baik dan saya tidak menafikan perkara itu sebab ia adalah baik.
"Jadi, sebenarnya, semua pasukan perlu mencontohi perubahan dilakukan oleh TMJ kepada pasukannya," ujar beliau.
Katanya lagi, pemikiran sama turut dibawa oleh Mohd Daud apabila terlebih dahulu membawa masuk bekas jurulatih Terengganu FC Nafuzi Zain yang merupakan jurulatih terbaik Liga Malaysia bagi musim 2022.
"Secara peribadi saya tengok beliau (Mohd Daud) berfikiran seperti orang muda.
"Apabila beliau kata, kita tidak boleh mencari pemain yang semata-mata nak nama, tidak boleh simpan pemain yang dia rasa dia tonggak, dan apabila beliau kata kita perlu rombak semua, beliau buat," tambah Firdaus.
KDA FC kini melengkapkan senarai lima pemain import skuad Liga Super apabila mengumumkan penyerang utama Willian Lira dari Brazil, Manuel Ott (Filipina), Amirbek Juraboev (Tajikistan), Manuel Hidalgo (Argentina) dan Bojan Ciger (Serbia).
Manakala seorang lagi pemain import Alan Robertson (Afrika Selatan) akan berada bersama skuad Liga Simpanan Kedah dan menjadi pemain sokongan buat Sang Kenari.