KBS yakin Kejohanan Terbuka Malaysia 2021 dapat dianjurkan

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 2, 2021 23:03 MYT
Reezal Merican berkata, BAM juga sudah melakukan persediaan yang sewajarnya namun ia tertakluk kepada perkembangan semasa berikutan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
GEORGE TOWN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2021 yang dijadual hujung bulan ini dapat diadakan.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau percaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat memenuhi kesemua aspek pematuhan protokol COVID-19 yang diperlukan dalam penganjuran terbabit.
Sehubungan itu, Reezal Merican berkata pihaknya akan membawa perkara itu untuk perhatian dan sokongan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu memerlukan protokol pengurusan yang lebih besar dan berbeza memandangkan bakal disertai atlet luar negara.
"Ia berikutan beberapa negara yang sudah mengeluarkan nasihat perjalanan ke Malaysia seperti China yang tidak akan menyertai kejohanan kali ini serta beberapa negara yang dilarang memasuki negara ini seperti India," katanya pada sidang media di Bayan Lepas pada Ahad.
Reezal Merican berkata, BAM juga sudah melakukan persediaan yang sewajarnya namun ia tertakluk kepada perkembangan semasa berikutan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata, baki perlawanan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan berlangsung seperti biasa meskipun sekiranya kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaru dalam masa terdekat.
Ujarnya, ini kerana MFL serta beberapa kejohanan lain seperti Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) sudah diberi kelulusan oleh MKN sewaktu model pelaksanaan PKP sebelum ini.
#Reezal Merican #KBS #Badminton Terbuka Malaysia 2021 #hujung bulan ini #dapat diadakan #COVID-19 #BAM
;