KBS yakin isu surat layang berkaitan FAM dapat ditangani
Bernama
April 4, 2024 23:20 MYT
April 4, 2024 23:20 MYT
HULU LANGAT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat menangani isu surat layang membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya terdapat bukti kukuh.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ini kerana suruhanjaya itu turut menjadi anggota dalam Jawatankuasa Intergriti FAM, selain pihak Polis Diraja Malaysia.
"Saya percaya SPRM akan melakukan yang terbaik untuk melihat isu-isu yang telah dibangkitkan, tetapi saya nak tunggu dulu bukan setakat surat layang... Jika ada laporan, saya percaya KBS akan hubungi SPRM untuk lihat apa langkah yang boleh dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) sebagai Pelaksana Rintis Kursus EV dan Hibrid di sini hari ini.
'Surat layang' dalam bentuk e-mel itu yang antara lain membangkitkan isu mengenai kepimpinan dan pengurusan FAM, tular di media sosial sejak Ahad lepas.
Yakin isu itu telah dijawab dalam Kongres Tahunan FAM ke-60 baru-baru ini, Hannah berharap agar FAM boleh menguruskan isu itu sekiranya ia berpunca dari masalah dalaman.
"Saya percaya FAM telah jawab (isu surat layang) tetapi saya tunggu.. kalau setakat surat layang memang susah.. Dalam semua syarikat, tempat (kerja) saya percaya surat layang, itu satu kebiasaan tetapi kalau ada laporan yang dibuat yang itu kita akan ambil (tindakan)," katanya.
Sementara itu Hannah turut mengucapkan tahniah kepada jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan di atas kejayaannya melayakkan diri ke sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
"Saya harap mulai sekarang sehingga waktu ke Paris nanti beliau akan terus tunjukkan kemajuan. Syabas dan selamat maju jaya kepada Aniq," katanya.
-- BERNAMA