KBS tidak lulus peruntukan GPS, DSK jika enggan patuh Kod Sukan Selamat

Bernama
Julai 10, 2024 17:40 MYT
Hannah Yeoh berkata pengajuran sesebuah acara turut dibatalkan sekiranya pihaknya dapat mengesan penglibatan syarikat terbabit selepas diluluskan kerana memudaratkan semua pihak. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan peruntukan menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) mahupun Dana Sukan Komuniti (DSK) sekiranya terdapat penglibatan syarikat tembakau, rokok elektronik dan alkohol menerusi pindaan dibuat di bawah kandungan Kod Sukan Selamat.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pengajuran sesebuah acara turut dibatalkan sekiranya pihaknya dapat mengesan penglibatan syarikat terbabit selepas diluluskan kerana memudaratkan semua pihak.
"Kita memang tidak akan (berikan) peruntukan bagi aktiviti yang mempunyai tajaan ataupun penggunaan barangan (tembakau, rokok elektronik dan alkohol) seperti ini. Kita (juga) sebagai pemilik Perbadanan Stadium turut melaksanakan larangan sama," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen kawalan merokok anjuran bersama Pusat Perubatan Cengild GI, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini.
Pada Februari lepas, KBS memaklumkan pihaknya akan mengambil langkah proaktif dengan menambah baik Kod Sukan Selamat selepas tular di media sosial tentang satu penganjuran sukan mendapat tajaan daripada syarikat vape.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis hari ini, Hannah berkata menjadi tanggungjawab KBS untuk memastikan belia bebas daripada isu sosial kerana itu pihaknya akan memperhebatkan lagi pelaksanaan Rakan Muda pada tahun ini.
Beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan program Rakan Muda pada tahun lepas telah berjaya menarik penyertaan 5,682,590 orang melalui 7,260 program dan aktiviti secara keseluruhan.
-- BERNAMA
#KBS #Hannah Yeoh #kelukusan peruntukan #Geran Padanan Sukan #dana sukan komuniti #kod sukan selamat
;