KBS tiada halangan jika Khairy terajui PKBM

Bernama
Oktober 1, 2020 07:40 MYT
Beberapa pihak menganggap Khairy calon paling layak mengambil alih kerusi nombor satu PKBM. - Foto Instagram Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai halangan sekiranya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, berhasrat untuk menerajui Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada menteri yang boleh mengangkat sukan ke arah lebih tinggi.
"Beliau (Khairy) adalah seorang yang dinamik dan mempunyai minat mendalam terhadap bidang sukan. Dua bidang sukan saya tahu beliau mempunyai minat mendalam adalah berbasikal dan bola sepak.
"Kalau di KBS, yang benar-benar membangunkan program NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) adalah saudara Khairy. Jadi saya mengharapkan dengan beliau berada di situ boleh membantu bidang sukan," katanya kepada media selepas melancarkan Esports Integrated (ESI), di sini, pada Khamis.
Beberapa pihak termasuk bekas pelumba basikal negara dikatakan melihat kehadiran Khairy merupakan satu petanda baik, jika sukan berbasikal negara mahukan perubahan apabila diterajui pemimpin baharu.
BACA: Khairy Jamaluddin presiden baharu Persatuan Lumba Basikal N. Sembilan
Mereka menganggap Khairy merupakan calon paling layak untuk mengambil alih kerusi nombor satu PKBM, selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) pada 19 Sept lepas.
PKBM ketika ini diterajui oleh Datuk Abu Samah Wahab yang sudah mengetuai badan induk itu sejak 1990.
Ditanya sama ada menteri dibenarkan untuk memegang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan, Reezal berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan terhadap perkara itu.
"Setakat ini tidak pernah dibawa dalam Kabinet dan tidak pernah ada sebarang bentuk arahan yang saya dimaklumkan. Ia bergantung kepada individu.
"Kalau Khairy, orang tahu beliau seorang yang terlibat secara mendalam terhadap sukan dan bidang bola sepak. Jadi, saya tidak nampak itu satu kekangan atau halangan.
"Secara jujur, dia ada hubungi saya (sebelum bertanding jawatan Presiden PLBNS), minta pandangan dan seakan-akan minta kebenaran, tetapi saya katakan tidak perlu," katanya.
-- BERNAMA
#abu samah wahab #basikal #PKBM #menteri #sumbangan #Persekutuan Berbasikal Malaysia #Reezal Merican Naina Merican #KBS #tiada halangan #Khairy Jamaluddin #bola sepak #sukan #pelumba basikal #sukan berbasikal #kabinet #PLBNS
;