KBS teliti permohonan jurulatih peribadi Lee Hup Wei

Bernama
Jun 15, 2021 05:20 MYT
KBS akan memberi jawapan berhubung permohonan Lee itu selepas pasukan olahraga pulang daripada pertandingan kelayakan di Astana, Kazakhstan. - Stadium Astro
SHAH ALAM: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti permohonan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei berhubung permintaannya untuk mendapatkan khidmat jurulatih peribadi bagi persediaan ke Sukan Olimpik di Tokyo, Julai ini.
Timbalan Menterinya Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pihaknya akan memberi jawapan balas berhubung permohonan Lee itu selepas pasukan olahraga pulang daripada pertandingan kelayakan di Astana, Kazakhstan.
"KBS sedang meneliti permohonan beliau (Lee) dan apabila mereka pulang nanti, kementerian akan beri jawapan balas. Kita memahami permintaan beliau itu," katanya pada pemberita selepas lawatan kerjanya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kuala Selangor Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, di sini pada Selasa.
Mengulas berhubung "kemelut" yang dialami Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Wan Ahmad Fayhsal berkata pihaknya berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin dan tidak akan masuk campur dengan keadaan sekarang.
Mengenai program Malaysia Vaccine Support Volunteers' (MyVac), Wan Ahmad Fayhsal berkata sehingga kini kira-kira 40,000 individu di seluruh negara sudah mendaftar sejak pemberian vaksin fasa pertama Mac lepas.
Beliau berkata, sehingga kini sejumlah 3,000 sukarelawan MyVac sudah mula digerakkan dan bertugas di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) seluruh negara bagi membantu melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
-- BERNAMA
#KBS #Lee Hup Wei #jaguh lompat tinggi #jurulatih peribadi #Sukan Olimpik #Tokyo #Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
;