KBS, SIC bantu penempatan Qabil Irfan bagi latihan komprehensif
Bernama
Januari 9, 2024 22:00 MYT
Januari 9, 2024 22:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan membantu penempatan baharu Qabil Irfan Azlan di Selangor selepas beliau diserap masuk sebagai atlet sepenuh masa dalam Program Pembangunan Sukan Permotoran yang dikelolakan SIC tahun ini.
SIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan atlet berusia 12 tahun itu akan menjalani latihan secara berkala di bawah kendalian pengurus pasukan ZK Racing Zulfahmi Khairuddin bersama lima atlet lain dalam persediaan untuk menyertai kejohanan peringkat Asia dan antarabangsa.
"Qabil Irfan diserap masuk sebagai atlet sepenuh masa dalam Program Pembangunan Sukan Permotoran yang dikelolakan oleh SIC dan bakal bertanding dalam kejohanan FIM Mini GP Malaysia Series 190cc dan Moto4 di kejohanan ESBK di Sepanyol.
"Pemindahan (dari Kuala Terengganu) itu bertujuan memastikan beliau menerima pendedahan, bimbingan dan latihan yang komprehensif dengan menggunakan SIC dan fasiliti sekitarnya sebagai pusat latihan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan KBS dan SIC juga akan menguruskan pemindahan sekolah untuk adik-beradik Qabil Irfan serta mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian buat bapa beliau.
"SIC bersama KBS akan terus memberi sokongan dalam program-program pembangunan sukan permotoran di negara ini dan berharap usaha berterusan ini dapat melahirkan lebih banyak pelumba berbakat terutamanya bakat baru dari peringkat akar umbi," katanya.
Juara dunia MiniGP 2023 itu telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil semalam dengan mempamerkan trofi kemenangan yang diraih di Valencia, Sepanyol pada November lepas.
-- BERNAMA