KBS sedia kaji imbuhan lebih menarik untuk atlet paralimpik

Bernama
Oktober 14, 2018 05:43 MYT
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bergambar bersama Skuad Paralimpik Negara selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - fotoBERNAMA
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji skim insentif yang lebih menarik kepada atlet paralimpik negara susulan kejayaan cemerlang yang dilakar pada Sukan Para Asia 2018 yang melabuhkan tirainya di Jakarta, semalam.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bagaimanapun, berkata, cadangan berkenaan bergantung kepada kesediaan sektor korporat untuk membuat pelaburan dalam pembangunan sukan paralimpik.
"Kalau sektor korporat boleh memperuntukkan jumlah dana yang besar untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kenapa mereka tak boleh lakukan perkara yang sama untuk sukan paralimpik negara," katanya kepada selepas menyambut ketibaan kumpulan terakhir atlet paralimpik negara dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.
Selain Syed Saddiq, ketibaan kumpulan berkenaan turut disambut oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, barisan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dan ahli keluarga atlet paralimpik masing-masing.
Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq memaklumkan satu majlis meraikan kejayaan atlet paralimpik negara pada Sukan Para Asia 2018 akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Malaysia menamatkan cabaran Sukan Para Asia 2018 di kedudukan kelapan dengan meraih 17 emas, 26 perak dan 25 gangsa, sekali gus mengatasi pencapaian pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan menerusi kutipan 15 emas, 20 perak dan 27 gangsa.
-- BERNAMA
#atlet paralimpik #dana #KBS #Kementerian Belia dan Sukan #korporat #pelaburan #pembangunan sukan #skim insentif #Sukan Para Asia 2018 #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
;