KBS sasar 20,000 penyertaan dalam FitMalaysia zon Utara

Bernama
Julai 7, 2019 13:24 MYT
Pulau Pinang merupakan negeri yang ketiga selepas Selangor dan Terengganu yang menganjurkan program FitMalaysia mengikut zon. - Gambar fail/BERNAMA
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mensasarkan 20,000 penyertaan dalam program FitMalaysia peringkat zon Utara yang akan diadakan di Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Perbandaran Seberang Perai di Jalan Betek, Bukit Mertajam pada 20 dan 21 Julai ini.
Timbalan Menteri KBS Steven Sim Chee Keong berkata tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk menjadi gelombang kecergasan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang membudayakan sukan.
Menurutnya, semua lapisan masyrakat Malaysia adalah dijemput untuk menyertai program ini dimana penyertaan adalah percuma dan tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Julai, Isnin depan.
"Program dua hari ini akan menampil pelbagai aktiviti sukan sampingan seperti senamrobik, 3on3 bola keranjang, 3on3 bola sepak jalanan, E-Sport, Himpunan Seni Mempertahankan Diri, Renang OKU dan Cabaran Kabadi.
"Acara kemuncak program FitMalaysia Pulau Pinang adalah acara terbuka kayuhan basikal sejauh 30 kilometer dan larian lima kilometer yang akan berlangsung pada 21 Julai," katanya dalam satu sidang media bersama pengerusi penganjur FitMalaysia Pulau Pinang, Soon Lip Chee merangkap Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri di sini hari ini.
Sim yang juga Anggota Parlimen Bukit Mertajam berkata Pulau Pinang merupakan negeri yang ketiga selepas Selangor dan Terengganu yang menganjurkan program FitMalaysia mengikut zon.
"Selepas penganjurakan FitMalaysia diperingkat zon, program ini akan dianjurkan di peringkat komuniti dimana keseluruhan 122 komuniti telah dikenalpasti akan terlibat," katanya.
Tambahnya, selepas Pulau Pinang, FitMalaysia akan dianjurkan di Zon Malaysia Timur iaitu Sabah pada 3 dan 4 Ogos dan zon Selatan di Johor pada 16 dan 17 Ogos.
Sementara itu, Soon berkata program FitMalaysia yang dianjurkan di Pulau Pinang sebelum ini, sentiasa mendapat sambutan yang baik daripada rakyat dimana edisi 2016 yang dianjurkan di SMK Seri Balik Pulau telah menerima 17,000 penyertaan dan edisi 2018 yang dianjurkan di Politeknik Seberang Perai telah mendapat 25,000 penyertaan.
Beliau berharap semua peminat sukan dan rekreasi khususnya dari negeri-negeri utara tidak akan melepaskan peluang ini untuk berkunjung ke Pulau Pinang bagi menyertai program ini.
"Selain aktiviti bersukan, program dua hari ini turut menampil aktiviti karnival sukan seperti program pameran dan jualan barangan sukan, barangan kesihatan dan makanan dan minuman gaya hidup sihat juga akan diadakan," katanya.
-- BERNAMA
#Bukit Mertajam #fitmalaysia #FitMalaysia zon Utara #Kementerian Belia dan Sukan #Majlis Perbandaran Seberang Perai #Steven Sim Chee Keong #Timbalan Menteri KBS
;