KBS, Pesuruhjaya Sukan bincang tadbir urus badan sukan
Bernama
Januari 9, 2024 14:37 MYT
Januari 9, 2024 14:37 MYT
KUALA LUMPUR: Beberapa aspek berkaitan tadbir urus badan sukan telah dibincangkan dalam pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sempena lawatan ke Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) hari ini.
Pesuruhjaya Sukan Suhardi Alias berkata perbincangan itu antaranya turut menyentuh mengenai hala tuju PJS sebagai peneraju transformasi tadbir urus badan sukan yang berintegriti, berkualiti dan profesional.
Beliau berkata beberapa penambahbaikan dan syor turut dibentangkan kepada KBS bagi memperkukuh tadbir urus badan sukan serta memperkasa hubungan strategik dengan semua pemegang taruh supaya pengurusan badan sukan lebih profesional.
"Antara syor itu adalah, corak pengurusan sukan perlu berusaha berorientasikan industri seiring perubahan masa dan perkembangan sukan yang bersifat dinamik. Pengurus dan penggiat sukan perlu lebih kreatif menjenamakan sukan masing-masing ke arah pengkomersialan dan nilai tambah.
"Persatuan sukan perlu melakukan anjakan paradigma untuk menarik lebih banyak penaja turut serta dalam agenda pembangunan sukan masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Syor lain turut dibincangkan termasuk cadangan supaya persatuan sukan lebih inklusif dalam menarik minat masyarakat untuk terlibat dalam menjayakan penganjuran serta program pembangunan sukan mereka.
Ini termasuk program untuk menarik minat golongan muda terlibat dalam acara sukan.
"Bagaimanapun, aspek tata kelola dan tadbir urus yang baik dalam kalangan warga sukan perlu diberikan keutamaan agar setiap sen yang diperoleh daripada kutipan tiket, penajaan dan sumbangan masyarakat akan diyakini untuk disumbangkan semula dengan telus ke arah pembangunan sukan," katanya.
Sementara itu, Suhardi berkata perkembangan terkini ekosistem sukan di Sabah dan Sarawak turut dibentangkan terutama mengenai penganjuran acara popular dalam kalangan penggiat sukan pada masa ini.
-- BERNAMA