KBS pertimbang kembali senarai sepak takraw sebagai sukan teras
Bernama
September 18, 2020 04:48 MYT
September 18, 2020 04:48 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menimbang secara serius untuk mengembalikan sukan sepak takraw sebagai antara sukan teras negara, kata Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Ini kerana katanya sukan tradisional itu mempunyai tempat istimewa dalam kalangan rakyat dan hampir segenap masyarakat bermain sukan tersebut.
Beliau berkata pencapaian skuad takraw negara di peringkat antarabangsa antaranya meraih pingat emas di Sukan Asia 2018 di Indonesia turut menjadi faktor yang menguatkan peluang sukan itu kembali disenaraikan.
"Saya tidak mempunyai maklumat terperinci mengapa ia dikeluarkan pada 2017 bersama sukan angkat berat dan taekwondo.
"Perkara (pertimbangan) ini akan dibawa ke KBS bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan juga PSM (Persatuan Sepaktakraw Malaysia) untuk kita lihat semula," katanya pada sidang media selepas merasmikan saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 di Stadium Titiwangasa di sini, malam tadi.
Terdahulu, Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail dalam ucapannya pada majlis itu berkata usaha memperkasakan sukan berkenaan, terutama pada peringkat akar umbi melalui Pusat Latihan Negeri dan Pusat Latihan Daerah, dapat dilaksanakan dengan lebih berjaya sekiranya sukan tersebut kembali disenaraikan.
"Bajet untuk melaksanakan program tidak begitu banyak kerana sukan ini tidak berada dalam senarai sukan teras. Saya tidak tahu kenapa sukan sepak takraw digugurkan, sampai sekarang saya tak mendapat penjelasan kenapa perkara itu berlaku," katanya.
MSN menggugurkan sepak takraw, angkat berat dan taekwondo daripada senarai sukan teras negara pada 2017 berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan berdasarkan semakan semula termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan tersebut sejak 2007.
-- BERNAMA
#Ahmad Ismail
#bajet
#gugur
#MSN
#prsteasi buruk
#Reezal Merican Naina Merican
#sepak takraw
#STL
#STL 2020
#sukan teras