KBS pertimbang imbuhan tambahan buat Azizulhasni - Khairy
Raja Hisyam Raja Zaid
April 15, 2017 18:07 MYT
April 15, 2017 18:07 MYT
Selain daripada skim imbuhan sedia ada, Kementerian Belia dan Sukan akan mempertimbangkan untuk memberikan imbuhan tambahan buat pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang di atas kecemerlangannya muncul selaku juara keirin dunia di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017, UCI yang berlangsung di Hong Kong pada Khamis.
Perkara itu diumumkan oleh menterinya, Khairy Jamaluddin atas prestasi dan pencapaian istimewa “The Pocket Rocketman” itu.
‘Skim yang sedia ada kita akan teruskan, tetapi mungkin kita pertimbangkan kerana kemenangan ini agak istimewa, mungkin kita akan melihat sedikit tambahan kepada skim yang sedia ada itu,” katanya kepada pemberita pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Aspirasi TVET 'Masa Depan Kerjayaku' di Institut Latihan Belia Negara di sini hari ini.
Azizulhasni muncul juara selepas penantian selama 10 tahun.
Beliau mengenepikan cabaran pelumba Colombia, Fabian Puerta Zapata dan Tomas Babek dari Republik Czech.
Kejayaan itu muncul selepas dia meraih dua perak dan dua gangsa dalam percubaan lalu.