KBS nilai semula keperluan naik taraf jumlah imbuhan SHAKAM - Ahmad Faizal
Raja Hisyam Raja Zaid
September 6, 2021 22:08 MYT
September 6, 2021 22:08 MYT
SEPANG: Jumlah ganjaran imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) akan dinilai semula jika ada keperluan semasa, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Faizal Azumu.
Beliau berkata, perkara itu akan dikaji dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menolak jika perubahan itu perlu dilakukan.
“Sudah tentunya dari semasa ke semasa kita akan lihat jika ia perlu diperbaiki dan sebagainya. Saya baru seminggu menjadi Menteri Belia dan Sukan... sayapun tak tahu berapa ganjaran yang diberikan setakat ini.
“Insya-Allah usaha kita bersama pihak media, saya, seluruh rakyat dan semua yang ada ini akan mencari jalan untuk sentiasa memperbaiki apa yang kita ada,” katanya ketika menyambut ketibaan kontinjen paralimpik negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur petang tadi.
Ketika ini imbuhan yang ditawarkan menerusi skim tersebut berjumlah RM1 juta bagi setiap atlet yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik.
Sementara bagi pingat perak pula ganjaran yang disediakan sebanyak RM300,000 manakala RM100,000 bagi pingat gangsa.
Tawaran itu diperuntukan kepada semua atlet negara sejak 2012 dan ia belum termasuk tambahan imbuhan lain.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal sekali lagi mengulangi pendirianya untuk terus memperjuangkan nasib jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli yang dibatalkan kemenanganya di temasya yang baru berakhir semalam.
Jelasnya KBS sedang mempersiapkan cadangan itu dan akan dibawa kepada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.