KBS mahu pencarian bakat sukan diteruskan di peringkat negeri
Bernama
Mei 18, 2024 21:45 MYT
Mei 18, 2024 21:45 MYT
KANGAR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu program pencarian dan pembangunan bakat dilakukan secara berterusan di peringkat negeri khususnya bagi sukan yang mampu menyumbang pingat di pentas antarabangsa.
Menterinya Hannah Yeoh berkata sukan berbasikal dan renang sebagai contoh adalah antara yang menyinar termasuk di Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan Asia, namun memerlukan bakat-bakat baharu untuk meneruskan kesinambungan itu.
"Semasa mesyuarat SUKMA (Sukan Malaysia), saya telah meminta semua Exco (Belia dan Sukan) negeri beri kepentingan sama rata kepada sukan untuk golongan wanita kerana jika Majlis Sukan Negeri masing-masing, mengabaikan ataupun tidak memberikan bajet kepada sukan untuk wanita, maka bakat akan dibazirkan.
"Saya berharap seluruh negeri akan tumpukan untuk pencarian jurulatih dan bagi program khas untuk acara terjun. Ia satu kerugian kalau kita berhenti setakat Pandalela dan Dhabitah (Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri)," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke kolam renang di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini.
Hannah berkata penyaluran maklumat kepada rakyat berkenaan penganjuran program-program sukan juga perlu ditingkatkan khususnya bagi sukan-sukan yang kurang ditonjolkan di peringkat sekolah seperti renang dan berbasikal.
Sementara itu, Hannah turut menyeru semua kerajaan negeri agar menyediakan peruntukan mencukupi untuk portfolio sukan di negeri masing-masing bagi pembangunan sukan dan pencarian bakat.
"Saya percaya setiap negeri cukup wang untuk carikan jurulatih bagi acara diving sebagai contoh. Saya telah minta dalam perancangan untuk pembelanjaan bajet tahun depan pastikan portfolio sukan dan belia di peringkat negeri masing-masing itu kena bagi keutamaan.
"Saya rasa ia suatu pengajaran buat kita, bila Pandalela dengan Dhabitah tidak dapat pergi ke Sukan Olimpik. Sukan ini suatu formula ringkas, anda melabur dalam sukan dan kita dapat lihat hasilnya, tetapi kita tidak dapat bergantung pada Pandalela dan Dhabitah...kita kena lahirkan atlet baru.
"Pencarian bakat sangat penting, sebab itu saya sebutkan negeri-negeri, Menteri Besar semua kena laburkan duit dalam portfolio sukan. Saya dengar ada negeri untuk portfolio sukan peruntuk bajet kurang daripada RM1, jadi bagaimana Exco Belia dan Sukan boleh buat program?," katanya.
-- BERNAMA