KBS mahu fokus persediaan Sukan SEA, para ASEAN 2017 - Khairy
Bernama
Mac 17, 2017 08:28 MYT
Mac 17, 2017 08:28 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu memberi fokus kepada persediaan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur pada Ogos dan September ini sebelum memikirkan tentang bidaan sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2022.
Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata untuk menjadi tuan rumah temasya sukan berprestij, KBS perlu mengkaji sama ada ia berbaloi untuk negara atau peruntukan yang diterima lebih baik digunakan untuk pembangunan sukan tanah air.
Beliau berkata walaupun tarikh penganjuran Sukan Komanwel adalah pada 2022, ia bukan suatu tempoh yang singkat dan pihak kementerian perlu mengkaji sama ada cadangan itu realistik atau tidak.
"Saya kena kaji perkara ini dengan lebih teliti sebab menjadi tuan rumah Sukan Komanwel memerlukan peruntukan besar bagi menampung kos tinggi.
"Ada juga cadangan supaya kita membida jadi tuan rumah Sukan Olimpik bersama-sama Singapura. Biarlah kita buat satu demi satu dahulu...kita selesaikan Sukan SEA dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani penajaan Westports Malaysia Sdn Bhd dan PRG Holdings Berhad untuk Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) pada Khamis.
MABA menerima suntikan berjumlah RM3.5 juta bagi tujuan membaik pulih Stadium MABA di Jalan Hang Jebat serta persediaan skuad bola keranjang lelaki dan wanita bagi menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.
Pada Rabu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata MOM bersedia membida acara sukan empat tahun sekali itu jika kerajaan bersetuju berbuat demikian.
Ia berikutan keputusan Persekutuan Sukan Komanwel pada Isnin melucutkan hak bandar raya Durban di Afrika Selatan untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2022 susulan kegagalan demi kegagalan bandar raya itu menepati tarikh akhir serta berdepan masalah kewangan.
Terdahulu, Khairy dalam ucapannya menyasarkan skuad bola keranjang wanita negara mempertahan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2015 di Singapura manakala skuad lelaki meraih pingat gangsa.
"Kita hendak pastikan skuad wanita dapat ulangi kejayaan mereka di gelanggang sendiri. Walaupun skuad lelaki disasarkan hanya pingat gangsa, tapi saya mahu lihat pemain berjuang sehingga ke akhirnya.
"Saya juga melihat acara bola keranjang antara sasaran bagi membawa Malaysia sebagai juara keseluruhan," katanya.
Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur akan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos depan dan diikuti dengan Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 September depan.
-- BERNAMA
#Kementerian Belia dan Sukan
#Khairy Jamaluddin
#MABA
#Persatuan Bola Keranjang Malaysia
#Sukan Komanwel 2022
#Sukan Olimpik
#Sukan Para ASEAN
#Sukan SEA