KBS mahu atasi kemelut politik dalam sukan

Bernama
Ogos 1, 2013 15:14 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berusaha mengatasi kemelut politik dan kepimpinan dalam beberapa persatuan sukan termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), kata menteri berkenaan Khairy Jamaluddin.
Beliau memberi jaminan isu itu akan diatasi dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tidak terus menjejaskan prestasi sukan negara.
"Melalui pesuruhjaya sukan yang dibekalkan dengan kuasa Akta Pembangunan Sukan, kita (KBS) akan sentiasa melibatkan diri dan mengenal pasti apa saja masalah dalam persatuan sukan.
"Kita akui ada beberapa persatuan sukan yang ada politiking, perebutan jawatan dan pelbagai isu lagi.
"Ada yang pendaftarannya dibatalkan dan kita terpaksa wujudkan semula persatuan baharu, ini semua kami akan ambil berat untuk diselesaikan,"katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Boon Som Inong pada persidangan Dewan Negara Khamis.
Boon bertanya mengenai langkah kerajaan dalam menyelesaikan kemelut kepimpinan dan politik dalam persatuan sukan negara hingga menjejaskan prestasi sukan.
Khairy berkata pesuruhjaya sukan juga akan diingatkan supaya tidak menunggu berlakunya kemelut dalam persatuan sukan untuk mengambil tindakan.
"Kita tidak campur tangan, tapi kita akan sentiasa memberi nasihat dan panduan dalam mencari penyelesaian.
"Kita tidak mahu dalam persatuan hanya ada mereka yang pentingkan jawatan, tetapi okjektif membangunkan mutu sukan negara itu lebih penting," katanya.
Menjawab soalan asal senator Roslin Abdul Rahman mengenai langkah KBS membangunkan prestasi atlet negara, Khairy berkata kementerian menjalankan pelbagai program untuk mencari pelapis atlet di peringkat kebangsaan dan serantau.
Melalui program itu, seramai 5,582 atlet sedang dilatih melibatkan 44 jurulatih luar negara dan 112 jurulatih tempatan di 252 pusat latihan seluruh negara.
"Daripada jumlah itu seramai 47 atlet elit telah diserap bagi dilatih untuk program Olimpik Rio 2016 bagi mencapai misi emas pertama negara dalam Sukan Olimpik," katanya.
Selain itu, KBS juga menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui program Talent Indentification Program (TIP) yang menjalankan ujian saringan murid-murid tahap 1 seluruh negara bagi mengenal pasti prestasi mereka.
Ujian itu dijalankan berdasarkan 11 jenis sukan dan sejak Januari hingga Jun tahun ini, seramai 12,551 telah diuji dari segi mengukur saiz badan dan kepantasan dan daripada jumlah itu 2,511 murid dikenal pasti berpotensi untuk dilatih sebagai atlet pelapis negara.
"Selain itu, kementerian juga melaksanakan usaha melahirkan jurulatih melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan sehingga kini seramai 1,078 jurulatih tahap satu sedang dilatih," katanya.
#bks #Khairy Jamaluddin #MSN #politik #sukan
;