KBS lulus permohonan naik taraf trek latihan Muhammad Azeem di SMK Gunung Rapat
Bernama
Ogos 5, 2022 09:10 MYT
Ogos 5, 2022 09:10 MYT
IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan permohonan untuk menambah baik dan menarik taraf trek balapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, di sini yang merupakan lokasi latihan atlet muda olahraga negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi menggilap bakatnya.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed berkata berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi panggilan telefon pada Rabu.
"Kita sudah lama mohon naik taraf trek tersebut. Menteri (Ahmad Faizal) maklumkan permohonan tersebut telah diluluskan. Ini penting bagi memudahkan atlet negara terus berlatih bersama jurulatih di situ.
"Kita sediakan kemudahan ini sebagai penanda aras dan kita tidak mahu dilihat menjadi kekangan (untuk beliau terus berjaya)," katanya ketika ditemui dalam satu majlis di sini semalam.
Pada Rabu, Ahmad Faizal memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menaik taraf trek balapan di sekolah kluster sukan itu bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi besar dalam sukan olahraga.
Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata komitmen diterima Muhammad Azeem daripada Majlis Sukan Negara (MSN) seperti pembayaran elaun perlu diteruskan sekiranya atlet berkenaan memasang cita-cita untuk berlatih atau belajar di luar negara kelak.
"Saya sudah minta MSN untuk memperhalusi beberapa komitmen yang perlu kita laksanakan. Kalau dia kena berlatih atau belajar di luar negara, komitmen MSN dengannya perlu diteruskan. Kalau ada pertambahan, perlu dipertimbangkan kerana kita ingin beliau bersama dengan Kontinjen Perak.
"Pendapat saya eloklah Muhammad Azeem belajar di luar negara seperti di Amerika Syarikat kerana mempunyai kepakaran dalam bidang sains sukan dari konteks olahraga yang dilihat lebih baik di sana," katanya.
Muhammad Azeem, 18, mencipta sejarah dan kejutan apabila meraih tempat kelima di acara akhir Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada Rabu selain memecahkan rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dalam pusingan awal acara itu di kejohanan berkenaan.
-- BERNAMA