KBS ingin bincang hasrat PKBM pindah venue latihan
Bernama
Mei 22, 2017 19:23 MYT
Mei 22, 2017 19:23 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengkaji secara mendalam dan berbincang dengan pelbagai pihak berhubung cadangan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memindahkan pusat latihan skuad trek negara dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya tidak boleh terburu-buru dalam membuat keputusan memandangkan jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang yang berpangkalan di negara 'Kanggaru' berkenaan, turut mendapat tajaan daripada pihak swasta selain masih berada di bawah Program Podium yang dikelolakan KBS.
"Sebahagian besar kos latihan (skuad trek negara) ditanggung oleh KBS walaupun Mohd Azizulhasni dan beberapa pelumba lain ada penaja peribadi tetapi program itu di bawah Program Podium," katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan selepas majlis pengumuman Larian Sukan SEA 2017, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy menegaskan keputusan KBS untuk menghantar beberapa pelumba trek elit negara menjalani latihan di Melbourne sejak beberapa tahun lepas disebabkan beberapa faktor termasuk jurulatih trek negara, John Beasley merupakan warga Australia serta pertandingan dan latihan di negara berkenaan disifatkan antara yang bertaraf dunia.
"Kalau kita terus pindah ke Malaysia tetapi kita masih lagi tidak ada ekosistem pertandingan yang berkualiti tinggi, jadi rugilah pelumba-pelumba kita sedangkan sewaktu mereka berada di sana (Australia), mereka sudah ada persekitaran latihan bertaraf dunia," katanya.
Sehubungan itu, Khairy menjelaskan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Beasley sendiri bagi mencari jalan terbaik untuk memastikan semua pihak berkepentingan dapat meraih manfaat demi kebaikan untuk skuad trek negara.
Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abdul Wahab sebelum ini dilaporkan mencadangkan penutupan program latihan skuad trek negara di Melbourne bagi tujuan penjimatan kos namun tidak dipersetujui oleh Mohd Azizulhasni yang menyifatkan latihan di Australia telah banyak membantunya meraih kejayaan di pentas antarabangsa.
-- BERNAMA
#abu samah abdul wahab
#Australia
#Kementerian Belia dan Sukan
#Khairy Jamaluddin
#Mohd Azizulhasni Awang
#nilai
#Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia
#PKBM
#sukan berbasikal
#Velodrom Nasional