KBS hargai sokongan rakyat Malaysia, FAM kepada pasukan Palestin

Sinar Harian
September 11, 2024 16:14 MYT
Antara penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan di Cheras. Foto Sinar Harian
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyediakan gelanggang berkecuali kepada Palestin menentang Jordan bagi perlawanan kedua Kumpulan B Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia pada Ahad.
Malah Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia apabila hadir memberikan sokongan kepada skuad kendalian Makram Daboub dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai 'rumah kedua'.
"Kementerian juga melihat ini sebagai satu manifestasi kepada nasib rakan-rakan kita di Palestin.
"Kita juga telah berbincang mengenai pertukaran budaya, kepakaran sukan selain harap dapat terokai sukan lain mengikut kesesuaian pihak Palestin.
"Buat masa ini kita bagi tumpuan kepada bola sepak dengan kerjasama FAM yang akan ditingkatkan lagi selepas ini," katanya semasa ditemui media semasa menyaksikan perlawanan kedua peringkat kumpulan kedua-dua pasukan.
Jordan meraih tiga mata dalam perlawanan itu selepas menewaskan Palestin, 3-1 hasil jaringan Yazan Al-Naimat (m-5, m-51) dan Noor Al-Rawabdeh (m-72) manakala gol Palestin dijelmakan Wessam Abou Ali minit ke-41. - Sinar Harian
#KBS #Malaysia #Palestin #kelayakan Piala Dunia
;