KBS harap Azeem konsisten pamer aksi terbaik - Adam Adli
Amirrul Rabbani
Ogos 20, 2023 11:20 MYT
Ogos 20, 2023 11:20 MYT
IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi dapat terus konsisten dalam mempamerkan aksi terbaik walaupun hasratnya mara ke separuh akhir Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary, tidak kesampaian.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, walaupun terkandas di peringkat saringan keempat kejohanan itu, pujian tetap harus diberikan kepada atlet kelahiran Perak berusia 19 tahun tersebut.
Katanya, pihaknya sentiasa memberi ruang kepada atlet berkenaan untuk berhubung dengan KBS terutama memastikan latihannya sama ada di dalam atau luar sentiasa mendapat kualiti yang terbaik.
“Kita sememangnya bagi perhatian kepadanya dan sentiasa berhubung dari semasa ke semasa.
“Muhammad Azeem juga kita angkat sebagai salah satu ikon sukan dan ikon anak muda dalam beberapa program kita sebelum ini.
“Jadi, memang kita beri banyak bantuan dan sokongan kepada beliau. Oleh itu, tidak ada isu sama ada kita perlu wujudkan lagi (insentif baru).
“Namun, beliau boleh sentiasa berhubung melalui Majlis Sukan Negara (MSN), atau KBS juga, kerana kita memang sentiasa beri perhatian kepada beliau,” katanya.
Adam Adli berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Fit Malaysia Peringkat Negeri Perak di Kompleks Sukan Negeri di sini hari ini.
Terdahulu pada kejohanan dunia yang berlangsung di Budapest, Muhammad Azeem mencatat masa 10.26 saat bagi kategori 100 meter pada peringkat saringan keempat, tetapi gagal layak ke peringkat separuh akhir.
Dalam perkembangan lain, Adam Adli berkata, setakat ini tiada pertambahan senarai atlet baru bagi program Road to Gold (RTG) untuk Sukan Olimpik Paris 2024 di Perancis.
Ini kerana, katanya, kesemua atlet terlibat dalam program berkenaan kini memasuki fasa persiapan terakhir menjelang acara yang akan berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 itu.
Pada Jun lepas, media melaporkan skuad hoki lelaki kebangsaan menjadi ahli terbaharu RTG sebagai persediaan mengharungi Sukan Asia Hangzhou 2023 pada September ini, yang juga medan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.
Sementara itu, Adam Adli berkata, lebih 9,000 peserta menyertai Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Perak yang melibatkan pengisian aktiviti seperti fun ride 10 km dan 35 km, fun run 5 km dan 10 km, fun walk 3 km, senamrobik dan tarik tali.
“Ia bertujuan membudayakan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup aktif, cergas dan sihat seiring dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia MADANI,” tambahnya.