Kayuhan bersama bapa bawa Mohamad Yusof Hafizi ke pentas paralimpik

Bernama
Ogos 28, 2024 09:45 MYT
Bermula dengan kayuhan bersama bapanya, siapa sangka jaguh berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin kini mampu meneroka dunia dan berlumba di Sukan Paralimpik. - Gambar Bernama
PARIS: Bermula dengan kayuhan bersama bapanya, siapa sangka jaguh berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin kini mampu meneroka dunia dan berlumba di Sukan Paralimpik.
Mohamad Yusof Hafizi berkata, aktiviti mengayuh basikal dengan mengelilingi kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak bersama bapanya, Shaharuddin Mohd Rani, 55, ketika beliau berumur 16 tahun menyebabkannya jatuh cinta dengan sukan itu sehingga berjaya menjadi pelumba terbaik dalam negara ketika ini.
"Keluarga menyokong saya untuk sertai sukan berbasikal. Ini juga peluang saya untuk banggakan keluarga kerana prestasi pelajaran saya tidak berapa baik ketika di bangku persekolahan," katanya kepada Bernama.
Atlet berusia 26 tahun itu berkata, bakatnya dikesan ketua jurulatih berbasikal para negara, Johari Mohd Nayan dalam satu pertandingan di Perak.
Menurut Mohamad Yusof Hafizi, beliau kemudian diberikan peluang menyertai sesi ujian menyertai skuad berbasikal para kebangsaan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, sebelum berjaya diserap menjadi pelumba negara pada 2017.
Dalam pada itu, Mohamad Yusof Hafizi yang bakal membuat penampilan kedua di pentas Paralimpik akan cuba memberikan kayuhan terbaiknya untuk menepati sasaran diletakkan barisan jurulatih dengan mara ke final kejar-mengejar 3,000 meter (m) lelaki C1 (kecacatan fizikal) di sini.
Beliau berkata, pencapaian mara ke final acara itu pada saingan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, kira-kira lebih setengah jam perjalanan dari sini, dapat memperbaiki prestasinya yang menamatkan kedudukan di tangga ketujuh sewaktu membuat kayuhan sulung di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Ditanya mengenai kekurangan fizikal dihadapinya, atlet dari Kuala Kangsar itu berkata, beliau mengalami masalah saraf sejak lahir, mengakibatkan keseluruhan bahagian kiri badannya lemah.
"Hanya bahagian kanan badan saya yang berfungsi baik," katanya.
Selain acara itu, beliau juga akan menyertai tiga acara lain iaitu ujian masa 1,000m lelaki C1-3 (kecacatan fizikal) serta dua acara lebuh raya - ujian masa individu lelaki C1 dan perlumbaan lebuh raya lelaki C1-3.
Mohamad Yusof Hafizi antara enam pelumba berbasikal para kebangsaan bersaing di Paris yang turut diwakili Muhammad Adi Raimie Amizazahan dan empat atlet wanita iaitu Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudinya Nurul Suhada Zainal serta Nur Suraiya Muhamad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi).
Malaysia menghantar 30 atlet daripada lapan jenis sukan pada Sukan Paralimpik Paris 2024 yang membuka tirai secara rasmi hari ini hingga 8 Sept.
PROFIL
Nama: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin
Umur: 26 tahun
Asal: Kuala Kangsar
Hobi: Bermain permainan video
Pencapaian tertinggi: Pingat gangsa ujian masa 1,000m lelaki C1 (kecacatan fizikal) pada Kejohanan Trek Berbasikal Para Dunia 2024 di Rio de Janeiro, Brazil.
- BERNAMA
#Paralimpik #jaguh berbasikal para negara #Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin #Sukan Paralimpik Paris