Kawasan penginapan Sukma bukan tanggungjawab UPM
Astro Awani
Julai 10, 2013 18:30 MYT
Julai 10, 2013 18:30 MYT
Universiti Putra Malaysia (UPM) hanya membantu Jawatankuasa Keselamatan (JK) Sukma terhadap keselamatan atlet di kawasan penginapan SUKMA dan bukan di bawah tanggungjawabnya.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata UPM telah menyerahkan tanggungjawab kepada JK Sukma yang mengawal penginapan, lalu lintas dan kolej penginapan atlet.
“UPM hanya menyediakan tempat penginapan dan mengawal di luar kolej penginapan atlet dan mengikut peraturan universiti, barang larangan seperti arak tidak dibenarkan dibawa masuk.
“Bahagian Keselamatan UPM hanya membenarkan kemasukan atlet dan pegawai yang mempunyai pas ke kolej penginapan tetapi tidak mempunyai bidang kuasa untuk melakukan pemeriksaan barangan dalam kenderaan mereka,” katanya.
Menurut Dr Fauzi, UPM juga akan terus bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak polis yang kini sedang menjalankan siasatan.