Kategori baharu buat Aniq Kasdan mulai 2025
Bernama
Disember 28, 2024 14:14 MYT
Disember 28, 2024 14:14 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan mengesahkan akan beraksi dalam kategori baharu, iaitu 60 kilogram (kg) bermula 2025 setelah kategori 61kg yang disertainya sebelum ini tidak lagi dipertandingkan.
Badang negara berusia 22 tahun itu percaya beliau tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang dilakukan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).
"Tahun depan terpaksa beraksi dengan kurang sekilogram, ia bakal menjadi cabaran kerana tidak tahu siapa lawan saya dalam kategori baharu ini sebab sudah tentu akan ada perubahan. Apa-apapun saya bersedia untuk bertemu sesiapa sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Pemenang pingat perak Kejohanan Dunia IWF di Manama, Bahrain baru-baru ini turut berhasrat mengekalkan momentum angkatannya dan berharap mampu merealisasikan misi mengangkat bebanan keseluruhan berjumlah 300 kg.
"Bagi saya tiada masalah dan kalau boleh nak kekalkan angkatan keseluruhan (298kg) sewaktu kategori 61kg. Kalau dapat perbaiki lagi bagus dengan sasaran saya masih sama macam tahun lepas, nak buat angkatan 300kg yang saya belum capai lagi," katanya.
Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan prestasinya pada tahun ini, beliau mengakui gembira namun pada masa sama merasakan masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki bagi mencapai potensinya yang sebenar.
Meskipun berjaya membawa pulang pingat di beberapa kejohanan yang disertainya tahun ini, atlet kelahiran Segamat, Johor itu enggan berada di dalam zon selesa sebaliknya mahu berusaha dengan lebih gigih.
"Daripada 10, saya nilaikan diri saya lapan, sebab masih belum capai sasaran peribadi. Kalau boleh tahun depan saya hendak buat yang lebih baik dan bawa pulang pingat emas Sukan SEA Thailand," katanya.
Untuk rekod sepanjang 2024, Mohamad Aniq berjaya mempamerkan aksi cemerlang apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya sebanyak dua kali ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji September lepas yang menyaksikan beliau membawa pingat emas.
Selain itu beliau turut berjaya meraih dua pingat perak di Kejohanan Dunia dalam acara clean and jerk dan angkatan keseluruhan.
-- BERNAMA