Kasma Daniel kembali warnai ARRC, Cub Prix bagi musim 2021

Astro Arena
Februari 15, 2021 06:39 MYT
Kasma akan berdepan cabaran baru dalam ARRC apabila beralih kepada kategori 1000cc berbanding 600cc tetapi itu bukan penghalang untuknya mencipta kejutan. - Instagram Kasma Daniel
2020 tahun yang mencabar bagi bekas pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin, apabila prestasinya dalam kancah MotoGP kurang memberangsangkan.
Bagaimanapun, Kasma berkongsi bahawa dia akan mewarnai kancah sukan permotoran musim 2021 apabila mengesahkan mempunyai pasukan dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan kemungkinan Cub Prix.
"Saya sebenarnya sasar berlumba dalam ARRC bersama Yamaha Motor Corporation (YMC) tetapi bagi Kejohanan Motosikal Eropah (CEV), kami sudah terlepas tarikh pendaftarannya sementara kedudukan saya dalam Cub Prix belum sahkan lagi.
"Saya ingin masuk dalam dua kategori bagi membantu keluarga (kewangan)," kata bekas juara CP150 itu dalam wawancara maya bersama wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, semalam.
Kasma akan berdepan cabaran baru dalam ARRC apabila beralih kepada kategori 1000cc berbanding 600cc tetapi itu bukan penghalang untuknya mencipta kejutan.
"Saya mahu bersaing dengan pelumba berpengalaman seperti Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqwan Zaidi.
"Saya akan kutip pengalaman secara berperingkat dan terus belajar.
"Tiba masanya, saya akan tunjukkan sesuatu."
#Moto2 #Kasma Daniel Kasmayudin #ARRC #Cub Prix #membantu keluarga #kewangan #sukan permotoran #sukan #cabaran baru #kategori 1000cc #pelumba
;