Kasma Daniel intai tiket 'wild card' musim depan
Bernama
Ogos 3, 2023 17:54 MYT
Ogos 3, 2023 17:54 MYT
KUALA LUMPUR: Pelumba negara Kasma Daniel Kasmayudin berharap untuk kembali bersaingan dalam perlumbaan Moto2 menerusi tiket wild card pada Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia tahun depan.
Justeru, pelumba berusia 22 tahun itu berkata beliau perlu membuktikan keupayaan berada dalam kelompok tiga teratas pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023.
"Saya dengar akan ada wild card dibuat beberapa pasukan, jadi saya mengharapkan dapat slot itu untuk kembali berlumba di hadapan peminat di Sepang.
"Ia impian saya dan sudah tentu saya akan mempamerkan tunggangan terbaik berbanding tahun sebelum ini," katanya kepada pemberita semasa memeriahkan program jualan gudang barangan permotoran, di sini hari ini.
Kasma Daniel diberikan slot wild card untuk beraksi dalam perlumbaan Moto2 pada saingan GP Malaysia di Litar Sepang pada Oktober tahun lepas.
Pada Jun lepas, Kasma Daniel berjaya menawan Litar Antarabangsa Sugo, Jepun yang juga kemenangan sulungnya dalam kelas ASB1000cc.
Setakat ini, pelumba kelahiran Johor Bahru itu menduduki tangga keenam saingan ARRC dengan mengumpul 61 mata selepas tiga pusingan.
Pelumba Jerman Markus Reiterberger (ONEXOX BMW TKKR) mendahului saingan dengan meraih 118 mata, diikuti pelumba Jepun Haruki Noguchi (SDG MS HARC-PRO Honda Philippines) di tempat kedua dengan 92 mata.
Seorang lagi pelumba negara Zaqhwan Zaidi (Honda Asia-Dream Racing) di tempat ketiga dengan 84 mata.
-- BERNAMA