PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan Karnival Uniti Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2023 pada Oktober ini dengan menampilkan pelbagai acara sukan dan kebudayaan.

Penganjuran karnival buat julung kalinya itu diadakan sempena Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 13 hingga 17 Okt ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata dua acara awal akan dipertandingkan bagi mempromosi kehangatan Pestabola Merdeka 2023 iaitu perlawanan bola sepak kategori kanak-kanak pada 30 Sept dan 1 Okt manakala perlawanan bola sepak amal pada 7 Okt.

"Acara sukan bola sepak merupakan sebahagian daripada identiti kebangsaan yang dapat membantu membina perasaan cinta dan kesetiaan kepada negara.

"Selain itu, karnival itu turut memberi ruang dan peluang kepada seluruh masyarakat untuk hadir bersama-sama memeriahkan karnival tersebut dan menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai tapak integrasi nasional dan khazanah kebanggaan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara dijangka hadir memeriahkan karnival tersebut yang akan menampilkan acara larian, berbasikal, kejohanan bola sepak jalanan dan persembahan kebudayaan.

Pestabola Merdeka 2023 yang bakal disertai empat pasukan iaitu Malaysia, Palestin, Lubnan dan India, dengan format secara kalah mati akan berlangsung pada 13 Okt ini (dua perlawanan) dan 17 Okt bagi penentuan tempat ketiga serta final.

-- BERNAMA