Karnival Olimpik: P.Pinang terima pengiktirafan MBOR

Bernama
Oktober 4, 2022 08:45 MYT
Chow (dua, kiri) dan Mohamad Norza (tiga, kiri) hadir pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan MBOR di George Town semalam. - Foto Facebook Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai negeri yang pertama menganjurkan Karnival Olimpik di negara ini dalam usaha mencungkil bakat sukan baharu.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kerajaan negeri juga menerima sijil MBOR bagi penganjuran acara tersebut sebanyak dua kali iaitu pada 2019 dan tahun ini.
Beliau berkata penganjuran itu memberikan pengalaman yang cukup berharga terutama dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet serta bakat-bakat muda di negeri ini.
"Dengan sambutan yang begitu luar biasa yang melibatkan lebih 10,000 warga Pulau Pinang pada 2019, telah sekali lagi mencetuskan idea untuk mengadakannya semula pada tahun 2022," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan MBOR di sini semalam.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MBOR Datuk Seri Dr Michael Tio menyerahkan sijil itu kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
-- BERNAMA
#Malaysia Book of Records #Karnival Olimpik #pulau pinang #Mohamad Norza Zakaria
;