'Karim' sambung khidmat bersama Sabah FC sehingga 2024
Bernama
Oktober 19, 2022 05:03 MYT
Oktober 19, 2022 05:03 MYT
KOTA KINABALU: Pemain import Sabah FC, Park Tae-su, yang mesra dengan panggilan 'Karim' dalam kalangan peminat tempatan, melanjutkan kontraknya bersama skuad 'The Rhinos' selama dua musim sehingga penghujung 2024.
Sabah FC, menerusi kenyataan malam tadi, memaklumkan sambungan kontrak pemain pertahanan kelahiran Korea Selatan itu disahkan pengurus pasukan, Ahmad Marzuki Nasir.
Sejak 2019, pemain berusia 32 tahun itu membantu Sabah muncul juara Liga Premier dan layak ke Liga Super sebelum mempamerkan aksi lebih mantap di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee yang menyaksikan Sabah menamatkan Liga Super 2022 di tempat ketiga liga.
Pemain, yang fasih berbahasa Melayu itu, beraksi cemerlang musim ini dan menjadi antara nadi utama skuad 'The Rhinos' apabila berjaya meledak lapan gol musim ini,
Menerusi ruangan komen media sosial Ahmad Marzuki, yang berkongsi perkara itu, rata-rata penyokong Sabah FC menyambut baik lanjutan kontrak Tae-su bersama Sabah FC.
Malahan ada penyokong yang meminta agar pemain import yang pernah menjulang juara Liga Premier pada 2019 bersama Sabah FC itu diberikan kerakyatan menerusi program naturalisasi.
Tae-su pernah menarik tumpuan dunia bola sepak apabila gol sepakan percumanya ketika menentang PJ City FC menjadi tular yang turut mendapat perhatian laman sosial Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
-- BERNAMA