Karate: Sureeya Shankar intai gelaran Kejohanan Asia selepas kejayaan K1

Bernama
Julai 7, 2023 12:02 MYT
Keyakinan atlet itu meningkat selepas menewaskan juara bertahan Kejohanan Asia Abdullah Shaaban dari Kuwait pada Liga Perdana Karate 1 (K1) di Fukuoka, Jepun, baru-baru ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Atlet karate negara, H. Sureeya Shankar menyasarkan untuk merangkul pingat emas Kejohanan Asia di Melaka dan temasya Sukan Asia Hangzhou, selepas mencapai kejayaan pada Liga Perdana Karate 1 (K1) di Fukuoka, Jepun, baru-baru ini.
Keyakinan atlet berusia 21 tahun itu meningkat selepas menewaskan juara bertahan Kejohanan Asia Abdullah Shaaban dari Kuwait 8-0 dalam pusingan repechage kategori -60kg lelaki bagi menggondol pingat gangsa di Fukuoka, bulan lepas. Abdullah juga juara Kejohanan Asia 2018.
Pada perlawanan peringkat kumpulan, Sureeya Shankar mengejutkan atlet Kazakhstan, Kaisar Alpysbay 12-9, yang juga pemenang pingat emas K1 tiga kali, selain dua pingat perak dan tiga gangsa dalam kejohanan berkenaan.
Sureeya Shankar, yang mula berkecimpung dalam karate sejak berusia enam tahun berkata beliau mahu terlebih dahulu memberi tumpuan memenangi Kejohanan Karate Asia yang akan berlangsung dari 18 hingga 23 Julai ini sebelum melangkah ke Sukan Asia Hangzhou di China, dari 28 Sept hingga 8 Okt.
"Saya mahu memenangi emas memandangkan saya mampu menewaskan Abdullah, yang berada di ranking lebih tinggi daripada saya. Saya perlu meningkatkan usaha dan kerja keras, ditambah dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri, saya harap saya boleh memastikan kejuaraan dalam percubaan keempat saya.
"Saya berasa agak gementar untuk menghadapi Sukan Asia memandangkan ini penyertaan sulung. Pada edisi lepas, senior saya S. Prem Kumar telah meraih pingat gangsa, jadi saya perlu melakukan yang terbaik untuk memungut emas kerana dia akan bertarung dalam acara -67kg," katanya kepada Bernama.
Mengulas mengenai kejayaan K1, Sureeya Shankar berkata regim latihan yang lebih ketat di bawah bimbingan jurulatih Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy dari Mesir, telah membantunya menguasai teknik baharu bagi mencabar lawan yang lebih hebat.
"Saya sedang meningkatkan teknik yang saya belum kuasai atau tidak tahu sebelum ini. Latihan ini sangat sukar, jadi stamina saya juga telah meningkat. Beliau (Tamer Abdelraouf) benar-benar membantu saya mempelajari kemahiran baharu.
"Ketika Liga Perdana K1, jurulatih menganalisis sepenuhnya gaya lawan dan memberi maklumat yang diperlukan kepada saya dengan beberapa rancangan. Saya sangat gembira dapat melaksanakannya dengan baik sekali gus menjadi pemenang pingat," katanya.
Pelajar Sains Sukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu turut berterima kasih kepada ibu bapanya yang bersetuju menghantarnya ke kelas karate di kawasan kejiranan mereka di Sentul.
"Saya berminat menyertai karate selepas menyaksikan beberapa rakan dan sepupu memenangi perlawanan. Pada mulanya saya sekadar mahu mencuba namun kemudian bertukar menjadi minat dan karate benar-benar membantu saya untuk meningkatkan kehidupan dengan baik," katanya.
-- BERNAMA
#Sureeya Shankar #atlet karate negara #kejohanan asia #Sukan Asia Hangzhou
;