Kar Gee tambah koleksi emas negara di Dubai

Bernama
Februari 16, 2024 14:12 MYT
Wong Kar Gee memenangi pingat emas dengan lompatan sejauh 6.80m, diikuti Chen Shichang dari China yang memperoleh pingat perak dan atlet Rusia, Maksim Shavrikov yang meraih gangsa. - Foto Instagram Wong Kar Gee
KUALA LUMPUR: Malaysia menutup kempen Kejohanan Grand Prix (GP) Olahraga Para Dunia 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan menambah satu lagi koleksi pingat emas acara lompat jauh lelaki T11/T12 (kecacatan penglihatan), semalam.
Wong Kar Gee mengungguli acara itu dengan melakukan lompatan sejauh 6.80 meter (m), mengatasi pencabarnya Chen Shichang dari China yang mencatatkan 6.39m untuk pingat perak manakala atlet Rusia, Maksim Shavrikov meraih gangsa dengan 6.08m.
Kontinjen negara turut mengutip pingat perak acara lontar peluru wanita F11/F12/F20 (kecacatan penglihatan) selepas melakukan lontaran sejauh 10.66m.
Atlet Mauritius, Brigila Clair memenangi pingat emas dengan 11.70m manakala gangsa milik wakil Kazakhstan, Gulbakhyt Kaiyrzhanova (6.84m).
Mohammad Zikri Zakaria pula menyumbang pingat gangsa acara lontar peluruh F54/F55 selepas merekodkan 9.69m.
Wakil iran Hamed Amiri unggul dengan lontaran sejauh 12.43m untuk memenangi pingat emas, diikuti Olokhan Musayev dari Azerbaijan dengan 10.92m untuk perak.
Keseluruhannya, Malaysia membawa pulang lapan pingat terdiri daripada empat emas, dua perak dan dua gangsa pada kejohanan yang bermula Selasa lepas.
-- BERNAMA
#Wong Kar Gee #atlet para #Kejohanan GP Olahraga Para Dunia 2024 #Dubai
;